Pakatan Harapan yakin akan dapat memenangi kembali hati rakyat negara ini khasnya di Melaka dalam pilihan raya umum akan datang apabila rakyat negeri itu dan seluruh negara turun mengundi sepenuhnya.
Pengerusi Pakatan Harapan Melaka, Adly Zahary berkata, BN hanya menang dengan undi 38 peratus sahaja dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.
“Saya selalu sebut bahkan dalam Dewan Undangan Negeri Melaka pun saya sebut bahawa kerajaan negeri Melaka ini kerajaan 38 peratus sahaja, jadi jangan bongkak sangatlah.
“48 peratus lagi rakyat Melaka menyokong Pakatan Harapan manakala 24 peratus sahaja menyokong Perikatan Nasional (PN),” kata Adly yang juga Bendahari Pakatan Harapan ketika berucap di Terengganu.
Namun, katanya, oleh kerana penyokong PH tidak turun mengundi dalam PRN yang lepas, maka Umno menang di Melaka walaupun dengan 38 peratus sokongan sahaja.
“Saya yakin, dalam PRU akan datang rakyat Melaka khasnya penyokong Pakatan Harapan akan turun setelah memahami keadaan sebenarnya politik negara ini sekarang.
“Saya melihat banyak tanda-tanda ini sekarang sebagaimana sebelum PRU 14 lalu,” kata Naib Presiden
Beliau juga yakin, rakyat negara ini bukannya Melaka sahaja akan memilih parti yang menawarkan kebolehan untuk menguruskan negara dan negeri dengan baik berbanding dengan parti yang hanya menunggang agama.
Adly berkata, terbukti dengan jelas hanya parti yang boleh mentadbir negara dengan ‘good governance’ atau kecekapan mentadbir sahaja yang akan dipilih rakyat nanti.
Ini kerana, katanya, dengan memilih parti yang sedemikian nasib rakyat akan terbela bukannya menjaga kepentingan segelintir elit yang berkuasa sahaja.
“Ketika saya menjadi ketua menteri Melaka, kami import pasir silica dari Terengganu dan prosesnya di Melaka untuk dieksport keluar negara selepas itu.
“Kenapa Terengganu tidak melihat ini sebagai sumber kekayaan negeri,” kata Adly ketika berucap di Majlis Makan Malam Dana PRU 15, Pemuda AMANAH Terengganu di Terengganu Equestrian Resort (TER) malam tadi.