Kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan semalam yang menyatakan parti Melayu Islam bukan musuh dilihat sebagai bibit-bibit perpecahan Perikatan Nasional (PN) dan tindakan terdesak Pas untuk bergabung semula dengan Umno di bawah Muafakat Nasional (MN).
Umum juga sedia maklum permusuhan antara Umno dan Bersatu tidak dapat dipulihkan dan oleh itu amat mustahil untuk ketiga-tiga parti ini bergabung.
Pendirian Pas yang flip flop dalam memilih sama ada suami lama atau suami baru ini menunjukkan keadaan sebenar ketiga-tiga parti ini sedang berebut kuasa dengan menunggang sentimen Melayu Islam.
Hakikatnya, gabungan tiga parti ini dalam kerajaan susulan pengkhianatan Langkah Sheraton telah membentuk kerajaan yang tidak stabil dan ketidakstabilan politik ini akan berterusan sungguhpun selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) seandainya mereka peroleh majoriti.
Pas yang selama ini menjadikan Umno sebagai musuh tradisi sekarang sanggup menggadaikan perjuangan asal demi mendapatkan kuasa dengan bergabung dengan Umno.
Parti yang telah dikafirkan Pas sehingga menimbulkan perpecahan dalam kalangan masyarakat kini didambakan untuk bersama kononnya atas nama Melayu Islam hanyalah candu politik untuk mengaburi pemikiran rakyat.
Pelaksanaan hukum hudud melalui pindaan RUU355 yang menjadi jambatan kepada penggabungan Pas Umno sebelum PRU ke-14 kini tidak lagi menjadi agenda perjuangan kedua-dua parti sedangkan mereka menerajui kerajaan hari ini.
Jika dahulu Pas bersungguh-sungguh menentang maksiat seperti judi, namun sekarang Pas sanggup bersekongkol dengan Umno menaikkan cabutan judi khas nombor ekor dari 8 kepada 22.
Suara anak muda Pas yang dahulu menentang keras sebarang bentuk hiburan, kini berjinak-jinak membenarkan konsert besar-besaran di Kelantan. Cukup mudah Pas dijinakkan Umno, dan bukan sebaliknya Umno yang ditarbiyahkan Pas.
Perubahan kompas politik Pas ini hakikatnya bukanlah penggabungan berpremiskan prinsip Islam, tetapi demi berebut kuasa.
Hujah Pas untuk bergabung dengan Umno atas nama Melayu Islam jauh meleset daripada perjuangan menyelamatkan kedudukan orang Melayu.
Umno yang telah memerintah negara selama 60 tahun yang menjadi punca kepada kehilangan berbilion ringgit institusi dana awam Melayu seperti Tabung Haji, MARA dan FELDA.
Pemimpin Umno yang terpalit dengan skandal rasuah dan salahguna kuasa kini dihulurkan tangan persahabatan sehingga menimbulkan persepsi negatif rasuah itu halal.
Sedangkan dalam Islam, penggabungan perlu dibuat atas prinsip menegakkan prinsip Islam dan bukan atas premis kuasa semata-mata.
Jika tidak, sudah pasti Rasulullah SAW telah bergabung dengan Quraish mentadbir Mekah, tetapi berhijrah ke Madinah menjadi pilihan.
Allah juga berfirman dalam surah Ali ‘Imran: 103 yang bermaksud; “Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah dan jangan berpecah belah”.
Justeru, bergabung dengan parti yang korup bukanlah dituntut Islam sedangkan Islam menuntut umatnya berjuang menentang rasuah yang merupakan satu bentuk kezaliman.
Maka, penggabungan Pas Umno demi berebut kuasa jauh tersasar dari prinsip Islam sebenar.
Baca juga Demi kuasa, Pas seronok di puncak ingin terus menjadi tongkat Umno
Baca juga Pernah kecoh kes talak tiga, Firdaus Wong jadi saksi Ebit Lew