Rakyat mahu ‘Bajet Rakyat’ bukan ‘Bajet pilihan raya’

Oleh NASUHA RAHMAN

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob harus bersedia untuk membentangkan ‘Bajet Rakyat’ dan bukannya ‘Bajet Pilihan Raya’.

Malah bajet yang akan dibentangkan pada 7 Oktober depan sepatutnya mengutamakan kepentingan dan keperluan rakyat daripada mengutamakan gula-gula politik pilihan raya.

Naib Presiden AMANAH, Dato Mahfuz Omar ketika dihubungi berkata, pelbagai aspek perlu diambil kira sebelum pembubaran Parlimen.

“Kita tidak mahu berulang sekali lagi bajet lapuk sepertimana yang telah berlaku pada tahun 1999 apabila bajet yang telah direncanakan untuk dibentang, dibahas dan diimplementasikan tidak menjadi realiti.

” Wang dibazirkan begitu sahaja termasuklah kos yang telah digunakan dalam persiapan seperti penyediaan bajet, mencetak, elaun kepada Ahli Parlimen dan pelbagai kos membabitkan pembentangan bajet tersebut.

” Pembaziran ini seharusnya diberi perhatian kerana ia melibatkan wang dan dana yang tidak harus dibazirkan dengan sia-sia tanpa direalisasikan bajet yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat negara ini,” ujar beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena.

Rakyat mahu 'Bajet Rakyat' bukan 'Bajet pilihan raya'

Tambah beliau, ruang harus diberikan supaya bajet tersebut mendapat sokongan Dewan Rakyat dan juga Dewan Negara terlebih dahulu dan bukannya bajet separuh jalan yang tidak dibahas dan tidak mendapat sokongan sebaliknya terhenti ditengah jalan ekoran ketagihan pembubaran Parlimen.

Tindakan ini sekiranya berlaku tegas beliau, adalah suatu yang memalukan serta mengulangi kegagalan lapuk pada tahun 1999 yang telah merugikan masa, wang dan nasib rakyat yang mengharapkan nasib mereka diberi pembelaan.

Tegasnya lagi, pembentangan bajet 2023 perlu diselesaikan sepenuhnya termasuklah dibahas dan mendapat sokongan terlebih dahulu serta lebih baik seandainya ia dapat diimplementasikan serta dilaksanakan kerana tempoh penggal kerajaan sedia ada masih berbaki sehingga tahun hadapan.

Kata beliau, setelah diimplementasikan maka rakyat berpeluang membuat justifikasi untuk meneruskan mandat atau sebaliknya menjelang pilihan raya umum ke-15 yang akan datang.

Baca juga: Kerusi ‘pengkhianat’ yang mana jadi pilihan Anwar, Gombak atau Ampang?

Baca juga: 15 minit pujuk, wanita batal niat terjun jambatan