Seorang remaja berusia 19 tahun yang memperoses dan menjual sendiri daun ketum telah diberkas polis selepas serbuan diadakan.
Baru beroperasi dua bulan, ‘tauke ketum’ berusia 19 tahun diberkas polis di kawasan Kampung Melayu Majidee, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, lelaki itu diberkas anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS kira-kira 12.30 tengah hari.
Katanya, hasil serbuan berjaya merampas satu tong plastik yang mengandungi sebanyak 18 bungkus plastik lut sinar yang berisi cecair yang disyaki air ketum seberat sembilan liter.
“Hasil soal siasat yang dibuat, pasukan polis membuat satu lagi serbuan di Taman Istimewa dan merampas tujuh bungkusan plastik berwarna hitam yang mengandungi 201 kilogram daun ketum.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan yang dibuat dalam serbuan ini dianggarkan berjumlah RM2,190. ” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Raub, hasil ujian saringan awal air kencing suspek adalah negatif dari sebarang dadah.
Katanya daun ketum dibeli suspek dari pembekal dari utara tanah air dan suspek memproses dan menjual sendiri air ketum yang diproses.
“Hasil semakan rekod lampau juga mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
“Suspek remaja lelaki itu akan direman untuk siasatan lanjut dijalankan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, dipetik Harian Metro.
Baca juga: “Letak daun limau purut je pun, lainlah kalau tambah ‘cheese’ dalam nasi lemak baru boleh perang!”
Baca juga: Berkenalan hanya di Facebook, wanita cantik kahwini penjual ikan