Selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno bersetuju agar Pilihan Raya Umum (PRU-15), diadakan tahun ini, Pas berpendirian tidak wajar Parlimen dibubarkan dalam tempoh terdekat.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata partinya berpandangan sedemikian selepas mengambil kira faktor pemulihan ekonomi dan jangkaan musim tengkujuh yang menyukarkan rakyat serta jentera kerajaan.
“Pas tetap akan meneruskan perbincangan serta rundingan dengan semua pihak (parti politik, pertubuhan bukan kerajaan/NGO, ahli akademik dan tokoh masyarakat) ke arah menjayakan agenda perpaduan ummah.
“Ia bagi mencapai titik persamaan dan mengelak pertembungan sesama sendiri, sekali gus mengalahkan Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam masa sama, Ahli Parlimen Marang itu berkata, langkah pemulihan ekonomi perlu terus disokong, khususnya melalui Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jumaat ini.
Untuk rekod, MT Umno telah membuat ketetapan supaya PRU15 diadakan pada tahun ini.
Susulan keputusan itu, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Umno akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.
Baca juga Rasa bersalah lepas curi RM7.4 juta dari mesin ATM, lelaki ini serah diri pada pihak berkuasa
Baca juga Lebih 15 jam terapung di laut, nelayan ini akhirnya diselamatkan