Budak 11 tahun jadi saksi mak ayah dipijak sampai tak bernyawa ketika orang ramai lari dari gas pemedih mata

Oleh KIM SYAZIE

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun menjadi saksi bagaimana kedua ibu bapanya dipijak-pijak oleh penonton yang berpusu-pusu melarikan diri, selepas pihak berkuasa negara itu melepaskan gas pemedih mata ke atas padang.

Dalam insiden rusuhan ganas di Stadium Kanjuruhan, Jawa Timur, Indonesia baru-baru ini, kanak-kanak dikenali sebagai MA itu melihat ibu dan ayahnya dipijak oleh orang ramai yang berlari ke arah pintu keluar stadium selepas keadaan bertukar menjadi panik. 

Difahamkan ketika kejadian, MA melihat ibu dan ayahnya jatuh dari tempat duduk sehingga mengalami sesak nafas akibat terhidu gas pemedih mata.

Dia langsung menjerit meminta tolong namun polis hanya sempat menyelamatkan MA sahaja ketika itu.

“Saat ditemukan, wajahnya (kedua orang tua MA) sudah semakin membiru dan kepucatan. MA sempat menjerit dan meminta bantuan pihak polis untuk menolong ibu dan ayahnya yang dipijak-pijak orang ramai.

“Namun polis sempat selamatkan dia (MA) sahaja,” kata bapa saudara MA, yang dikenali sebagai Doni seperti yang dilapor Tribunnews.  

Lapor Tribunnews lagi, ketika kekecohan tercetus, MA telah terpisah dengan kedua-dua orang tuanya iaitu M Yulianton dan Devi Ratna S.

Doni berkata, anak saudaranya masih trauma kerana melihat ibu bapanya sendiri dipijak-pijak penonton lain.  

“Waktu gas pemedih mata dilepaskan, saya hanya berfikir untuk menyelamatkan anak-anak dan kami sempat berlari ke arah pintu keluar.

“Namun, usaha saya untuk masuk semula ke dalam stadium bagi menyelamatkan abang dan kakak ipar gagal selepas terlalu ramai penonton yang merempuh untuk keluar dari pintu,” katanya.    

Baca juga: Pengunjung tunjuk keadaan Pantai Cenang Langkawi sunyi, tak ramai pelancong walaupun hujung minggu

Baca juga: “Letak daun limau purut je pun, lainlah kalau tambah ‘cheese’ dalam nasi lemak baru boleh perang!”

Baca juga: Lebih 15 jam terapung di laut, nelayan ini akhirnya diselamatkan