MetMalaysia pertegas tak sesuai PRU15, lebih 2,000 sekolah dan fasiliti awam digazet jadi PPS banjir

Oleh ARIF ATAN

Ketika Umno galak mahu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada tahun ini juga, lain pula pendirian Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

MetMalaysia sangat tidak menggalakkan pelaksanaan PRU15 ketika negara sedang mengalami fasa peralihan monsun.

Timbalan Ketua Pengarah MetMalaysia Hisham Mohd Anip berkata, banjir dilihat sudah kerap berlaku di seluruh negara dengan Johor, Melaka dan Perak pun sudah banjir.

“Kita di pihak pengurusan bencana tidak galakkan (menjalankan PRU15). Kenapa nak ambil risiko, dalam situasi kita nak menghadapi Monsun Timur Laut, kita tahu akan berlaku banjir di banyak tempat,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam webinar berjudul “Cabaran Perubahan Iklim: Bersediakah Kita?” sempena Forum Iklim Kebangsaan Monsun Timur Laut 2022/2023 hari ini.

Di sebalik spekulasi pembubaran Parlimen juga, lebih 2,000 sekolah dan fasiliti awam seperti balai raya dan dewan orang ramai sudah digazetkan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) jika negara dilanda banjir.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, langkah persediaan kerajaan menghadapi banjir itu mengambil iktibar daripada bencana yang berlaku pada tahun lalu.

Sebelum ini, MetMalaysia menjangkakan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini yang membawa kepada banjir besar.

Baca juga Ketika PM menghadap Agong, menteri ini dakwa majoriti Kabinet tak setuju PRU-15 tahun ini

Baca juga JKM mohon bantuan kesan ibu bapa Ayyash