Tak pernah sebut pun lebih gembira jika Aafiyah jadi ahli politik – Siti harap blog ini bertanggungjawab

Oleh ARIF ATAN

Datuk Seri Siti Nurhaliza sangat berharap agar sebuah blog bertanggungjawab di atas artikel bertajuk “Siti Nurhaliza Lebih Gembira Aafiyah Jadi Ahli Politik”.

Penyanyi ke-27 di dunia paling banyak menerima anugerah itu berkata blog tersebut melaporkan fakta dengan tajuk yang salah mengenai anaknya, Siti Aafiyah.

Siti, 43, menafikan mengeluarkan kenyataan sedemikian seperti yang dilaporkan blog tersebut.

Siti Nurhaliza dalam satu persembahan.

Menerusi hantaran di laman Instagram, penyanyi yang juga dikenali sebagai pelantun lagu-lagu berirama asli Melayu itu mengingatkan tentang etika menulis yang memberi impak kepada orang lain.

“Apa yang saya tekankan adalah mengenai etika menulis, jangan mengubah fakta dan saya pula yang terkena impak negatifnya.

“Tajuk berita ini jauh berbeza dengan jawapan saya. Saya tidak pernah menyebut saya lebih gembira jika Aafiyah menjadi ahli politik seperti yang ditulis.

“Netizen akan menulis di ruangan komen berdasarkan tajuk tersebut, dan macam-macam akan diperkatakan,” tulis Siti, lapor BH Online.

Dalam masa sama, penyanyi kelahiran Kampung Awah, Temerloh itu memuat naik satu tangkap layar yang memaparkan artikel tersebut di Instagram peribadinya.

“Saya tidak pernah ada masalah dengan pihak media tetapi saya hanya mahu agar apa yang ditulis perlu dengan fakta yang betul, apatah lagi ada video yang boleh dirujuk,” tegas Siti lagi.

Baca juga Ini senarai lagu ketuhanan nyanyian Siti Nurhaliza, lagu kelima mungkin ramai tidak sangka

Baca juga Duit ada semua boleh jalan? Ini kisah Burj Khalifa dan Jalur Gemilang