Tengah siasat kereta terbabas elak kelibat, tiba-tiba hidu bau busuk rupanya mayat mereput dalam longkang

Oleh NASUHA RAHMAN

Ketika tengah siasat kemalangan membabitkan sebuah kereta yang terbabas kerana mengelak kelibat, pihak polis tiba-tiba terhidu bau busuk rupanya mayat mereput dalam longkang.

Sebelum terjumpa mayat yang dipercayai seorang wanita pihak polis ketika melakukan siasatan telah terhidu bau busuk di mana kejadian berlaku berhampiran persimpangan lampu isyarat Pekan Tambun pagi ini.

Mayat yang sudah reput sejak beberapa hari itu, ditemui hanya pada kira-kira 3 meter dari kereta Proton Saga yang terbabas ke dalam longkang berdekatan.

Kira-kira jam 5 pagi sebuah kereta yang dipandu oleh seorang anggota tentera dari arah Hulu Kinta terbabas ke dalam longkang berkenaan.

Anggota tentera berkenaan dikatakan cuba mengelak suatu kelibat yang melintas di hadapan keretanya sebelum terbabas ke dalam longkang di sebelah kiri jalan.

Bagaimanapun, dalam kejadian itu anggota tentera itu hanya cedera ringan.

Susulam itu anggota polis trafik yang kemudiannya datang ke lokasi kira-kira 5.30 pagi untuk menjalankan siasatan sebelum turut menemui mayat reput di sekitar kawasan kemalangan.

Maklumat penemuan itu dilaporkan kepada Balai Polis Tambun berhampiran dan mayat kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk proses bedah siasat.

Difahamkan, proses bedah siasat akan dijalankan pada sebelah petang bagi mengenal pasti identiti mayat dan punca kematian.

Tinjauan wartawan di lokasi mendapati siasatan dijalankan oleh pihak polis dan forensik PDRM di lokasi kejadian dan mayat reput sudah dibawa keluar daripada lokasi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Baca juga: Kalau takut melambung dalam pesawat akibat “turbulence” pilot syorkan elak naik ‘flight’ lewat petang

Baca juga: Nak sangat PRU masa banjir, UMNO sanggup ajar ahli berenang