Isu pembubaran Parlimen tidak seharusnya dibangkitkan lagi kerana ia boleh dianggap bakal ‘makan diri’ sekiranya tindakan itu mempengaruhi pemikiran rakyat untuk tidak keluar mengundi.
Menurut pandangan peguam, Zulhazmi Shariff, ada sesetengah pihak masih memainkan isu Parlimen dibubar untuk meraih simpati pengundi tetapi tanpa sedar tindakan itu akan menyebabkan pengundi tidak keluar mengundi.
Katanya, apabila ada dalam kalangan rakyat berpendapat ahli politik hanya gila kuasa tanpa menghiraukan nasib rakyat, kemungkinan untuk rakyat tidak keluar mengundi amat tinggi ditambah dengan faktor sekiranya banjir berlaku.
Justeru katanya, sekarang bukan masa lagi menyalahkan waktu Parlimen dibubar, tetapi sekarang adalah masa untuk mengajak pengundi agar keluar mengundi.
“Ternampak satu kajian yang dibuat tentang pembubaran Parlimen. Keputusannya majoriti tidak setuju Parlimen dibubarkan sekarang. Antara alasannya ialah rakyat bimbang dengan banjir yang akan berlaku dan yang paling merisaukan apabila rakyat meluahkan bahawa ahli politik hanya gila kuasa.
“Memainkan isu bubar di waktu tengkujuh tidak membantu kerana akhir nanti akan ada yang turut berpendapat kamu juga sama lalu tidak keluar mengundi,” katanya mengulas isu pembubaran Parlimen yang terus dibangkitkan tanpa usaha mengajak orang ramai untuk mengundi.
Pada masa sama, Zulhazmi juga berkata, jika keadaan sedemikian berlaku yang menyaksikan ramai tidak keluar mengundi, Pakatan Harapan yang akan rugi.
Ketika ini ramai pakar dan pemerhati politik menjangkakan Umno-BN mampu memenangi Pilihan raya Umum (PRU) ke-15 sekiranya peratusan keluar mengundi adalah rendah.
Atas sebab itu, Zulhazmi mengingatkan agar pihak yang ingin melihat PH bangkit semula, tidak lagi menggunakan ‘reverse psychology’ yang akhirnya akan memakan diri.
“Jika pengundi merasakan kamu juga sama dengan di sana, yang pasti akan rugi itu kamu. Cukup-cukuplah cuba guna “reverse phychology” yang silap gaya memakan diri.
“Fokus sekarang ialah untuk mencari cara bagaimana untuk menarik pengundi keluar mengundi bukan menambah benci pengundi kepada demokrasi,” katanya lagi.
Baca juga: Tular 6 kain rentang digantung kerana tidak puas hati PRU15, pelaku diburu polis