Pakatan Harapan (PH) mampu menang pilihan raya umum (PRU) ke-15 kali ini seandainya majoriti pengundi Melayu menolak parti yang penuh dengan rasuah atau terlibat dengan rasuah dan memberi dokongan kepada parti yang ingin membanteras korup dan rasuah.
Naib Pengerusi AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria berkata, sejarah PRU ke-14 telah membuktikan bahawa isu korupsi dan salah guna kuasa adalah isu major yang memainkan peranan sehinggalah menjelangnya PRU ke-15 kali ini.
“Namun begitu dalam PRU ke-14, Datuk Seri Najib Razak adalah pemain utama sebagai liabiliti kepada Umno. Begitu juga menjelangnya PRU ke-15 majoriti dari kluster mahkamah turut membabitkan mantan dan pimpinan tertinggi Umno sekali lagi.
” Lebih menarik apabila pelaku korupsi dan salah guna kuasa dalam PRU ke-15 telah pun terbukti di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan juga Mahkamah Persekutuan.
” Semasa PRU ke-14 sebelum ini, korupsi dan salahguna kuasa yang jelas terbukti telah pun dipropagandakan sebagai fitnah dan persepsi.
“Sebaliknya PRU ke-15 ia bukan lagi andaian semata-mata, tetapi terserlah dengan ketara dan telah pun disabitkan oleh Mahkamah,” ujar beliau yang juga merupakan Pengarah Komunikasi dan Penerangan PH Pulau Pinang.
Walau bagaimana pun katanya, terserah kepada majoriti pengundi Melayu sama ada mahu menerima parti yang penuh dengan rasuah atau pun menerima parti yang mahu membanteras serta menolak korup dan rasuah sebagai parti pemerintah menjelang PRU ke-15 kali ini.
Baca juga: Ketika sibuk susun calon PKR, merpati dari Kajang bertenggek di pejabat Rafizi