Pada semalam tular satu video pergaduhan antara pemandu lori dengan pegawai polis trafik. Seorang lelaki warga tempatan mendakwa dia telah dipukul oleh pegawai trafik berkenaan.
Video berdurasi 50 saat itu dipercayai berlaku di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Iskandar Puteri, Johor dan dalam rakaman berkenaan, pemandu tersebut mendakwa dipukul dengan besi.
Tidak dapat didengar butir percakapan mereka tetapi pemandu berkenaan ada meminta agar polis trafik itu tidak mencabarnya. Anggota polis itu kemudian membalas “tumbuklah aku”.
Video berkenaan telah mendapat perhatian Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Johor, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin, yang memaklumkan bahawa anggota polis trafik itu sudah tampil membuat laporan polis selepas insiden berlaku.
Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika anggota polis trafik memantau lalu lintas di KSAB sebelum mendapati treler dipandu seorang lelaki berada di lorong kanan yang sepatutnya dikhaskan untuk kenderaan ringan sahaja.
“Pemandu treler berkenaan enggan untuk memberikan kerjasama semasa pemeriksaan dilakukan, pemandu tersebut juga telah mengeluarkan kata-kata kesat lalu bertindak membuka pintu dan terus menumbuk muka anggota tersebut sebanyak 2 kali dan menendang Motosikal.
“Berlaku sedikit pergelutan dan anggota tersebut cuba mempertahankan diri atas tindakan pemandu treler,” katanya.
Pada masa sama, polis memaklumkan bahawa suspek telah pun ditangkap dan kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan
“Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan bersangkut laporan tersebut. Suspek telah ditangkap dan permohonan reman akan dibuat pada 18/10/2022 di Mahkamah Johor Bahru untuk siasatan lanjut.
Baca juga: Padah tak dengar cakap doktor, wanita maut tercekik gigi palsu