Awal pagi ini akhbar berita tempatan, News Straits Times (NST) membuat pendedahan bahawa wanita Malaysia menjadi ejen Mossad -agensi perisikan Israel- untuk menculik seorang warga Palestin.
Dikatakan, rakyat Palestin itu mempunyai hubungan dengan Hamas dan sayap bersenjatanya, Briged Izz ad-Din al-Qassam.
Susulan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata kerajaan sedang meneliti satu dakwaan tersebut selain akan memantau setiap dokumen kemasukan rakyat asing ke negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin menjelaskan, pemerhatian sedang dilakukan secara menyeluruh dan jika perlu tangkapan akan dapat diambil serta-merta.
Tambah Hamzah, jika terdapat mana-mana warga asing yang memasuki negara ini tanpa dokumen sah, kerajaan akan mengambil tindakan sewajarnya.
Sebenarnya, bila sesiapa sahaja yang masuk ke negara kita ini, mereka (kena) ada dokumen yang sah.
“Bila ada orang masuk tanpa dokumen yang sah, kita akan pantau sehingga sampai masa tertentu tangkap mereka… kita akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Keluarga Aspirasi Kepulihan Peringkat Kebangsaan 2022 hari ini.
Merujuk kepada laporan berkenaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikatakan berjaya membongkar satu jaringan perisikan Israel, Mossad di Malaysia.
Berdasarkan laporan akhbar terbabit, agen perisikan Israel memasuki negara ini dalam usaha mengesan dan menculik dua lelaki Palestin dipercayai merupakan aset Briged Hamas al-Qassam.
Perkara tersebut terbongkar apabila dua rakyat Malaysia dikatakan ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kes penculikan warga Palestin akhir September lalu.
Dipercayai mereka yang berusia 30 tahun itu dilatih sebagai penyiasat persendirian di Perancis oleh ejen Mossad sekitar 2018, disyaki menjadi dalang kepada rangkaian perisikan Israel di negara ini.
Baca juga: Tular video dakwa dipukul anggota trafik, rupanya pemandu lori mulakan pergaduhan tumbuk polis
Baca juga: Lagi kes pegawai kanan kerajaan rasuah: Perolehan kenderaan RM290,000 – ‘Datuk’ direman 4 hari