‘Mydin tak sebut pun nama Caprice tapi kalau nak saman, boleh hantar pada peguam saya’

Oleh KIM SYAZIE

Untuk tidak terus membiarkan isu berlarutan, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr. Ameer Ali Mydin tampil memberi respon terhadap tuntutan maaf yang dibuat usahawan, Caprice terhadap syarikat pasar rayanya.

Ameer Ali berkata, pihaknya sama sekali tidak menyebut nama penyanyi rap itu dan mempersoal mengapa dia mahu terasa.

“Kami (Mydin) tak ada sebut nama Caprice atau ‘tag’ Caprice dalam hantaran kami, kenapa dia nak terasa,” katanya memetik Kosmo!.

Sejak semalam, media melaporkan bahawa Caprice memberi tempoh 24 jam kepada Mydin untuk membuat permohonan maaf secara terbuka dan jika gagal berbuat demikian, bakal berdepan tindakan saman RM30 juta.

Susulan itu, Ameer Ali menegaskan bahawa pihaknya tidak membuat sebarang kesalahan dalam mana-mana ciapan dan hantaran yang dimuat naik di platform media sosial Mydin serta tiada sebarang unsur perlian atau menghina individu tertentu.

“Siapa makan cili, dia yang rasa pedas.

“Kalau betul Caprice nak saman, hantar surat saman kepada pihak kami, biar peguam saya nanti akan semakkan,” katanya ringkas.

Sementara itu, mengulas hantaran Insta Story Caprice yang mahu menawarkan perbelanjaan secara percuma kepada orang ramai di Mydin, Ameer Ali mengalu-alukan kehadiran mereka.

Selain itu, Mydin juga berjanji akan menawarkan 1 kilogram (kg) paket gula kepada mereka yang terlibat.

“Baguslah kalau Caprice nak buat kerja amal, bantu orang ramai, jangan lupa hubungi pihak Mydin ikut cawangan yang diinginkan.

“Saya pun nak bantu juga, bagi yang terlibat Mydin akan beri 1kg gula kepada anda,” katanya.

Baca juga: Terasa jadi bahan sindiran, Caprice nak saman Mydin RM30 juta sebab sebut nama ‘cap’ dan ‘rice’

Baca juga: ‘Kita pernah bagi penyamun jadi PM, kenapa kali ini tak boleh beri peluang kepada Anwar?’