Kerajaan sementara didesak agar mengarahkan harga tiket penerbangan serta pengangkutan awam lain diturunkan ke harga minimum dan bilangan penerbangan ditambah sekitar hari mengundi untuk membolehkan rakyat Malaysia pulang mengundi.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP merangkap mantan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dalam kenyataannya berkata, ini berikutan kenaikan mendadak harga tiket kapal terbang menjelang hari mengundi sekarang.
“Dengan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa hari mengundi akan jatuh pada 19 November 2022, harga tiket kapal terbang didapati meningkat beberapa kali ganda.
“Saya menggesa agar kerajaan sementara mengarahkan supaya harga tiket penerbangan serta pengangkutan awam lain diturunkan ke harga minimum untuk membolehkan rakyat Malaysia pulang mengundi,” kata Sim dalam kenyataannya.
Selain itu, katanya, bilangan penerbangan juga harus ditambah untuk tempoh tersebut.
Langkah-langkah ini amat penting terutama untuk rakyat Malaysia yang berada di luar kawasan mengundi mereka terutamanya yang melibatkan wilayah Sabah dan Sarawak, kata beliau.
Katanya, tindakan Menteri Pengangkutan kerajaan sementara Wee Ka Siong menasihati pengundi untuk beli tiket penerbangan lebih awal adalah tidak masuk akal dan tidak bertanggungjawab kerana harga tiket terus melambung tinggi hanya dalam beberapa jam selepas pengumuman SPR tersebut.
(Rujukan: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/10/1014721/beli-tiket-penerbangan-awal-untuk-balik-mengundi)
Sebagai contoh, harga tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sabah sekitar sebelum hari mengundi naik didakwa dalam lingkungan RM400-500 sehala berbanding sekitar RM200 sebelum itu.
Dakwaan kenaikan harga ini bukan sahaja melibatkan Sabah dan Sarawak, malah semua destinasi utama penerbangan dalam negara termasuk Johor Bharu, Kota Bahru dan Pulau Pinang, katanya.
“Ketika pentadbiran Pakatan Harapan, Menteri Pengangkutan Saudara Anthony Loke berjaya memastikan harga tiket penerbangan dikekalkan pada harga minimum ketika musim perayaan.
“Contohnya, harga tiket dari Kuala Lumpur ke Sabah bermula pada harga RM169 sehala manakala ke Sarawak bermula pada RM149 sehala,” kata nya lagi.
(Rujukan: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/01/532847/tambang-murah-penerbangan-lewat-malam)
Bagi beliau, ini bukan masanya untuk mengaut keuntungan atas semangat patriotisme rakyat Malaysia.
“Saya menyeru syarikat penerbangan melaksanakan kewajipan sebagai warganegara korporat (corporate citizen) yang bertanggungjawab untuk sama-sama mendukung proses demokrasi negara Malaysia,” katanya.