Jurang pembangunan sangat jelas dengan sembilan negeri tertinggal dan berada di bawah purata pertumbuhan ekonomi manakala hanya empat negeri bertindak sebagai lokomotif pendapatan negara.
Pakar juga sudah pun menyuarakan kebimbangan mengenai realiti hampir separuh daripada isi rumah di Malaysia sekadar melihat bukan menikmati kejayaan pembangunan negara.
Malah, dalam forum Akademi Profesor Malaysia (APM) menerusi Zoom baru-baru ini turut menyenaraikan manfaat pertumbuhan tidak dirasai oleh sebahagian rakyat Malaysia antara 15 permasalahan struktur yang Malaysia hadapi sekian lama.
Justeru, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang menjengah ini memberi cabaran kepada bakal kerajaan baharu mengenai polisi dan strategi yang perlu dilaksanakan bagi memastikan masalah jurang antara wilayah atau negeri ini dapat ditangani.
Ikuti pandangan pakar ekonomi, PROF rof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali yang juga Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM) mengenai cabaran ekonomi menuju PRU15:
Sepanjang 30 tahun tempoh Wawasan 2020 (1991-2020), Malaysia berhadapan dengan 4 krisis ekonomi global dan berjaya mencatat pertumbuhan purata 5.3% setahun, kurang dari yang diharapkan oleh Tun M iaitu sekitar 7% setahun ketika melontarkan Wawasan 2020.
Bagi saya bukan satu kegagalan. Sasaran purata 7% setahun untuk tempoh 30 tahun lebih merupakan ‘harapan’ bersandar unjuran matematik mudah. Tiada siapa dapat menjangkakan 30 tahun yang mendatang.
Bukan sahaja krisis ekonomi global dan pandemik, apa lagi perubahan struktur ekonomi dan susun atur geo-politik global. Dalam ucapan Tun di awal 90-an, tiada China, India, Vietnam, ekonomi digital, revolusi industri ke 4, AI, sosial media dan sebagainya.
Saya tetap menganggap pertumbuhan purata 5.3% untuk tempoh 30 tahun adalah satu kejayaan pengurusan ekonomi negara. Tahniah Malaysia. Berjaya bukan bererti tiada masalah.
Momentum pertumbuhan ekonomi semakin menurun. Suasana ekonomi kini bersifat V.U.C.A: Volatile (Tidak Menentu)-Uncertain (Tidak Pasti)-Complex (Kompleks/Rumit)-Ambiguous (Hubungan perekonomian yang samar/tidak jelas).
Dari 7.2%, ke 4.6%, dan 4.0% untuk 3 dekad. Untuk RMke12 (2021-2025), kita sasarkan 4.5-5.5%.
Setahun (2021) sudah berlalu, kita tumbuh 3.1%. Tahun ini 2022 dijangka tinggi, antara 5.3-6.3%, malah ada yang anggarkan lebih tinggi. Tahun 2023, dijangka perlahan kembali berikutan jangkaan kemelesetan ekonomi global.
Pertumbuhan ekonomi negara kita tidak menyeluruh. Hanya 4 negeri Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Melaka bertindak sebagai lokomotif ekonomi negara dan berada di atas purata pertumbuhan dan pendapatan pertengahan negara. Ini cabaran yang sangat besar untuk yang bakal membentuk kerajaan.
Jurang pembangunan sangat jelas. Sembilan (9) buah negeri tertinggal. Pendapatan penengah isi rumah lebih rendah dari RM5,873 (penengah negara).
Setiap bakal pemimpin negeri mesti tahu status kedudukan ekonomi negeri masing-masing dan memikirkan tindakan yang bakal dilaksanakan.
Dengan sekitar 51% penduduk, mudah cerita, hampir separuh dari isi rumah negara ‘tidak merasai’ kejayaan pembangunan ini.
Cabaran buat bakal kerajaan baharu – Apakah polisi dan strategi yang akan dilaksanakan bagi memastikan masalah jurang antara wilayah/negeri ini dapat ditangani?
Apakah sasaran pertumbuhan ekonomi dan pendapatan bagi negara dan negeri yang ingin dicapai, setidaknya dalam tempoh 5 tahun akan datang.
Bagaimana dapat kita pastikan rakyat, tidak kira di mana mereka tinggal, dapat merasa kejayaan pembangunan negara?
Baca juga Dihidang hanya mi kosong dengan sos ikan – Ini sebab pengetua tadika dipenjara 50 tahun