‘Kedai kampung je pun’, pelanggan tergamam kena bayar RM25 untuk sepinggan nasi kosong dan sotong kecil

Oleh KIM SYAZIE

Sebuah kedai makan di Terengganu didakwa mengenakan harga cekik darah kepada pelanggannya apabila sepinggan nasi dan sotong bersaiz kecil dicaj dengan harga RM25.

Perkara tersebut didedahkan seorang pelanggan yang memberitahu bahawa dia dan ahli keluarga seramai 10 orang hanya memesan lauk-lauk kampung seperti sotong, ayam, sayur, dan kari kepala ikan.

Menerusi video yang dimuatnaik di akaun TikTok misseyra25, wanita berkenaan menunjukkan tiga harga makanan yang dikenakan terhadapnya iaitu RM98.30, RM44.90 dan RM82.40 dengan jumlah keseluruhan RM225.60.

Dia mendakwa kari kepala ikan yang diambil juga bersaiz kecil seperti kepala ikan talapia dan dicaj dengan harga RM50.

“Siapa-siapa yang pergi bercuti ke Terengganu lebih baik jangan pergi makan dekat kedai ni. Peniaga nak pergi haji balik hari.

“Macam ni ke orang Terengganu layan orang luar. Tahu kami bukan orang sana, kaw-kaw dia kira makan. Ingat kami datang daripada negara lain ke nak kira makan macam tu. Kita Melayu sama Melayu kot patut kedai tak maju-maju.

“Kedai kampung je pun dalam macam nak roboh, kira nasi kosong dengan 1 sotong kecil sampai RM25 sepinggan. Patut dah petang pun kedai kau lauk tak habis-habis.

“Jangan korang pula kena. Aku tak pernah viralkan kedai makan tapi bagi aku kedai ni sangat-sangatlah melampau. Muka selamba je kira mahal-mahal memang tak lamalah kedai kau tu. Kalau kau saje nak tekan harga disebabkan kami ni orang luar, takkan aku halalkan dunia akhirat duit aku tu,” katanya dalam video berkenaan.

Sementara itu meninjau ke ruangan komen pula, rata-rata mereka yang menetap di Terengganu juga mengakui tidak pernah pergi ke kedai berkenaan kerana ia memang dijual dengan harga yang tinggi.

Ada juga yang memberitahu mereka turut ‘terkena’ dengan kedai tersebut apabila dicaj RM90 walhal hanya makan berdua dan hidangannya cuma lauk kampung.

“20 tahun hidup kat Terengganu tapi dok pernoh rase nok gi makang situ walaupun hari-hari gi kijer lalu jalan tu,” komen pengguna TikTok lain.

Baca juga: Harta si mati tidak akan terus ke AmanahRaya – Ini jumlah wang tunai milik waris yang tidak dapat diserahkan

Baca juga: Betul ke pam pelan-pelan boleh dapat minyak ekstra? Pakcik Shell buat eksperimen lagi, tak sangka ini hasilnya