Pendidikan negara nyata sedang jumud (stagnant) dan ramai anak bangsa sedang keciciran pembelajaran, tegas ahli akademik, Dr Anuar Ahmad.
Pensyarah di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, sistem pendidikan negara tidak lagi menjadi contoh pada negara lain.
Jelasnya, situasi itu berbeza dengan era 1990-an apabila berpusu-pusu pemimpin negara membangun datang meneliti dan mengkaji kejayaan sistem pendidikan negara.
“Pendidikan negara kita sedang ketinggalan. Ramai anak bangsa sedang keciciran pembelajaran.
“Kualiti pendidikan semakin diragui. Banyak keputusan kepimpinan pendidikan kabur dan sering dipertikaikan masyarakat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Untuk rekod, statistik Pendidikan Malaysia 2021 menunjukkan 90.31 peratus daripada 3.063 juta kanak-kanak berusia enam tahun hingga 11 tahun yang bersekolah rendah.
Perangkaan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) itu juga menunjukkan 84.06 peratus daripada 1.445 juta remaja berusia 12 tahun hingga 14 tahun ke sekolah menengah dan hanya 77.87 peratus daripada 956,273 mereka yang berusia 16 tahun ke atas bersekolah di peringkat menengah atas.
Mengulas lanjut, Dr Anuar menegaskan bahawa banyak bangunan sekolah pada masa ini sudah usang dan daif dengan infra sekolah semakin banyak yang rosak.
“Beban kerja guru melampau-lampau beratnya. Hala tuju pendidikan negara juga semakin kabur. Sudah tidak jelas ke mana sasarannya,” katanya.
Sehubungan itu, pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti tersebut berkata, Malaysia sangat memerlukan pemimpin yang berani, berpengalaman dan faham masalah utama pendidikan untuk memulihkan kembali sistem pendidikan negara.
“Jika tidak, pendidikan negara kita akan terus ketinggalan. Setiap dari kita mempunyai peranan dan tanggungjawab.
“Semoga Allah swt merahmati pendidikan anak-anak kita,” tambah Dr Anuar lagi.
Baca juga Ada orang tua hubungan elok saja – Hanya kerana pasal ini adik-beradik bermusuh
Baca juga Jarak umur 37 tahun tidak halang pasangan ini jalin cinta