Satu sumbangan utama gerakan-gerakan Islam moden ialah memberi masyarakat satu pusat tumpuan atau “rallying point” dalam usaha bina-negara atau “nation-building”.
Dalam masyarakat berbilang agama, ini bukanlah suatu yang mudah kerana perpaduan yang dipupuk harus merentas batasan agama dan bangsa.
Pendekatan yang perlu diambil tidak boleh menjadikan sikap berpuak-puak di antara bangsa-bangsa dan penganut agama yang berbeza lebih parah.
Namun, perkembangan sejak kebelakangan ini menunjukkan sebahagian pendukung Islam telah menyimpang daripada hasrat ini. Islam kini lebih dijadikan faktor yang melaga-lagakan masyarakat.
Islam telah di”hijack” oleh semangat perkauman. Sebahagian dari umat Islam hari ini telah kembali kepada jahiliyyah yang dihindari Rasulullah S.A.W.
Masyarakat Malaysia hari ini berhadapan dengan pelbagai cabaran. Ini termasuklah kemiskinan, ketidaksamaan ekonomi, kanak-kanak yang terbantut pembesaran, serta kos sara hidup yang meningkat.
Rasuah yang berleluasa telah menyebabkan pelabur kurang melabur di Malaysia berbanding dengan negara-negara jiran. Perubahan iklim kini mengancam masa depan manusia.
Kesemua ini merupakan ancaman kepada masyarakat dan memerlukan penyelesaian. Ia juga merupakan ancaman kepada Islam.
Namun, umat Islam di Malaysia seolah-oleh terbantut intelek dalam menghadapi cabaran-cabaran ini. Mereka juga telah menjadi “aloof” dalam menghadapi cabaran-cabaran semasa.
Agama sudah menjadi suatu yang memesongkan perhatian mereka daripada masalah-masalah yang mengancam kewujudan manusia serta melalikan mereka terhadap cabaran-cabaran ini.
Semakin besar masalah yang dihadapi dunia, semakin sempit pemikiran umat Islam. Kita disuruh membayar zakat.
Namun, walaupun semakin banyak zakat dikutip kemiskinan dalam kalangan umat Islam masih berleluasa.
Perubahan iklim memberikan kesan yang semakin getir tetapi golongan agamawan membisu dalam hal ini.
Sukar untuk kita mendengar mereka bersuara apabila sampah-sarap bersepah di tepi jalan dan di dalam parit atau apabila bukit digondolkan.
Kebersihan bagi mereka adalah sekadar dalam berwuduk, mandi wajib dan beristinjak. Bagaimana hendak memimpin dunia jika pemikiran sebegini kerdil.
Umat Islam sepatutnya menjadi tauladan akhlak yang baik dan mulia.
Sebaliknya, sebahagian daripada agamawan menunjukkan sikap suka berbalah dan mencerca dan tidak tahu menghormati perbezaan pendapat.
Ini bukan sahaja dalam konflik dengan golongan bukan Islam, keadaan bengis dan keras yang sama dapat dilihat dalam perbalahan sesama agamawan sendiri.
Malah, ada juga agamawan yang sekadar menggunakan agama sebagai slogan serta permainan sentimen.
Golongan bukan Islam tidak boleh dipersalahkan jika mereka menggangap Islam itu sebagai bengis, bersikap keras, melihat mereka sebagai musuh serta memperkecilkan kedudukan mereka dalam masyarakat.
Sememangnya, itulah sentimen yang mereka lihat ditonjolkan oleh sebahagian umat Islam.
Islam perlu mempunyai kredibiliti jika ia ingin dihormati. Islam tidak akan dilihat sebagai pengaruh yang mampu memimpin jika ia tidak mampu menangani cabaran-cabaran semasa yang dihadapi manusia.
Kejayaan golongan Islam di Malaysia harus diukur berdasarkan sejauhmana golongan bukan Islam turut menganggap mereka sebagai kredibel.
Analogi sikap sebahagian umat Islam hari ini ialah ibarat sekumpulan manusia yang berada di atas kapal yang bocor di lautan bergelora. Sebahagian daripada manusia ini bertungkus lumus cuba menutup kebocoran yang berlaku.
Sebahagian lagi merupakan orang Islam yang sibuk hendak mengadakan zikir perdana untuk meraikan maulud di atas kapal dan tidak mengambil endah kebocoran yang berlaku.
Islam kini di persimpangan. Setelah dipesongkan oleh pelbagai kefasadan dan pemikiran yang sempit tibalah masa untuk kita mengislahkan pembawakan Islam di Malaysia.
Baca juga Kos sara hidup makin melambung tapi masih buang duit – Ini senarai membazir yang tetap ramai lakukan