Budaya fitnah di media sosial memang sukar dibendung apatah lagi di musim pilihan raya. Namun jika fitnah itu disuburkan orang agama dalam parti berlabel agama yang kononnya mahu mendaulatkan agama, ia suatu yang mendukacitakan kerana menjejaskan imej agama.
Fitnah yang bertali arus itu makin rancak ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara. Dari isu Icerd ( Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum) ke UEC (Sijil Peperiksaan Bersama), membawa kepada kes kematian anggota Bomba, Allahyarham Mohamad Adib; fitnah dan berita palsu itu disebarkan di media sosial hingga ke mimbar masjid.
Antara individu yang paling teruk menjadi mangsa fitnah ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof yang ditugaskan menjaga hal ehwal Islam.
Bukan sahaja beliau dipersalahkan dalam semua perkara yang menyentuh sensitiviti umat Islam, malah dia dituduh kononnya menjual aset Tabung Haji hingga institusi pengurusan haji negara itu mengalami kerugian.
Usia singkat pentadbiran PH akibat pengkhianatan politik melalui “Langkah Sheraton” punyai hikmah tersendiri.
Pentadbiran PN/BN di era pandemik mendedahkan satu demi satu kepalsuan dakwaan yang dilemparkan kepada PH. Isu-isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam juga lebih subur berlaku selepas itu. Sebut sahaja isu LGBT, judi, arak, pemandu mabuk dan sebagainya, semuanya berleluasa di era pentadbiran PN/BN walaupun tanpa DAP (parti yang selalu menjadi kambing hitam) menyertai kerajaan.
Harapan agar semua yang berlaku itu menjadi pengajaran nampaknya sia-sia sahaja. Tanpa rasa segan dan malu, fitnah terus dilemparkan kepada pemimpin PH.
Terbaru seorang ‘pendakwah selibriti’, PU Syed yang juga seorang penyokong Pas memuat naik video blogger kontroversi, Raja Petra Kamarudin di laman Facebook beliau.
Dalam rakaman video yang dikongsi ribuan pengunjung itu, Raja Petra mendakwa bekas Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Dato’ Husam Musa telah memanipulasi minit mesyuarat untuk memberi projek balak kepada pemimpin DAP dan menerima wang daripada sebuah syarikat judi.
Husam yang juga bekas Naib Presiden Amanah menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkan Raja Petra sebagai “raja fitnah”. Malah peguam yang ditugaskan kerajaan negeri Kelantan dan Husam untuk menyaman individu-individu yang membuat dakwaan liar itu turut memuat naik kenyataan di facebook sambil menunjukkan dokumen panghakiman mahkamah yang memihak kepada kerajaan negeri dan Husam.
Menyedari keterlanjurannya menyiarkan fitnah Raja Petra dan kecaman yang diterimanya daripada netizen, PU Syed atau Syed Mohd Bakri Syed Ishak memohon maaf terhadap Husam.
“Saya mengaku telah melakukan kesilapan dengan memuat naik video tersebut dalam media sosial saya kerana beranggapan ia menarik untuk rakyat Kelantan ketahui kisah tersebut tanpa memikirkan datang dari mana sumber tersebut,” jelasnya.
Persoalannya, mengapakah PU Syed yang sebelumnya dilapor pernah menyampaikan komen berhubung bahaya fitnah tergamak menyebarkan rakaman video fitnah itu tanpa mahu mengesahkan kebenarannya (tabayyun).
Kemungkinan utama adalah hubungan baik Raja Petra dengan para pemimpin utama Pas khususnya presiden parti. Sebelum ini tular foto memaparkan Raja Petra duduk semeja dengan presiden, timbalan presiden dan beberapa pemimpin kanan Pas. Foto itu dipercayai dirakam di London, tempat blogger pelarian politik itu tinggal.
Raja Petra juga ialah adik kepada ahli korporat, Raja Idris Kamarudin yang diketahui rapat dengan presiden dan para pemimpin utama Pas.
Begitulah Pas, parti berlabel Islam tetapi gagal mentarbiah diri untuk menghindari budaya fitnah. Ianya bukan satu tuduhan melulu tetapi terbukti dengan puluhan kes saman fitnah yang tidak memihak kepada pemimpin parti itu?
Dengan segala keonaran itu, layakkah Pas bergelar “parti Islam”?