Sejak September yang lalu, Pulau Pinang merupakan negeri pertama di wilayah utara yang telah berjaya memperolehi rangkaian spektrum 5G.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri bersama beberapa buah syarikat telekomunikasi adalah bagi menjadikan negeri ini sebagai sebuah Negeri Pintar serta hijau yang berteraskan ‘Keluarga Inspirasi Negara’.
“Dengan adanya kemudahan rangkaian tersebut ia menghasilkan nilai komersial yang bermutu tinggi dalam usaha untuk memastikan peningkatan ekonomi digital bagi Pulau Pinang.
“Sebelum ini syarikat YTL Communications Sdn Bhd merupakan pengendali perkhidmatan 5G di negeri ini. Kini empat buah lagi syarikat telekomunikasi telah bersetuju bagi memberi perkhidmatan yang sama bagi memastikan rangkaian spektrum 5G tersebut direalisasikan.
“Antara syarikat terbabit yang turut memberi sokongan tersebut adalah Telekom Malaysia, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Celcom Networks Sdn Bhd dan U Mobile Sdn Bhd,” ujar beliau melalui pautan di Facebook miliknya.

Tambah Zairil, setakat ini antara lokasi yang telah pun menikmati liputan 5G adalah George Town, Bayan Baru, Pulau Tikus, Batu Maung, Batu Lancang, Bukit Gelugor, Sungai Tiram dan juga Sungai Pinang.