DBKL dipohon bagi pampasan kepada mangsa pokok tumbang

Oleh BORHAN AHMAD

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dipohon supaya membayar pampasan kepada mangsa pokok tumbang di Taman Maluri semalam.

Bekas Menteri Wilayah, Khalid Samad yang kini bertanding di Parlimen Titiwangsa berkata, langkah itu wajar dibuat memandangkan pokok yang tumbang itu adalah milik DBKL.

“Saya mohon DBKL pertimbang pampasan kepada mangsa kerana ia pokok DBKL,” kata Khalid dalam sidang media beliau hari ini. Khalid turut berada di tempat kejadian pokok tumbang yang berlaku di hadapan sebuah restoran mamak petang semalam.

DBKL perlu mengambil langkah pro aktif bagi memastikan kejadian sebegini tidak berulang di masa depan.

DBKL adalah badan yang terletak di bawah Kementerian Wilayah di mana Khalid pernah menjadi menteri sebelum ini.

Dalam sidang media hari ini juga, Khalid meminta agar DBKL membuat tindakan pro aktif bagi memastikan kejadian ini tidak berulang.

“Saya sangat berharap agar Datuk Bandar Kuala Lumpur mengambil berat dan bertindak sebaik mungkin untuk elak peristiwa ini berulang termasuk memastikan pokok-pokok besar ini dipotong dahannya bagi memastikan is sukar untuk tumbang di musim tengkujuh ini,” katanya.

Semalam seorang meninggal dunia dan beberapa yang lain cedera apabila sebatang pokok besar tumbang ke atas beberapa buah kereta dan sebuah motosikal.

Penunggang motosikal berkenaan yang patah kakinya dan cedera di kepala meninggal dunia di hospital malam tadi.

Jenazahnya masih ada di hospital ketika berita ini ditulis untuk dibuat posmortem.

BACA JUGA Seorang meninggal, beberapa cedera termasuk bayi dihempak pokok tumbang di Kuala Lumpur