Seorang pasangan baru berkahwin akui menyesal membuat pinjaman peribadi sebanyak RM40,000 demi memenuhi keinginan ibu bapa pihak perempuan yang mahukan majlis mewah di hotel.
Seperti luahan seorang wanita pada laman Twitter @ConfessTweetMy, dia memberitahu, pada awalnya suami tidak berhasrat untuk membuat pinjaman peribadi untuk mengadakan majlis perkahwinan.
Bahkan setelah membuat perkiraan, mereka berdua hanya mahu mengadakan kenduri doa selamat kecil-kecilan dengan tetamu sekitar 100 orang.
Bagaimanapun rancangan itu ditentang ibu bapanya kerana merasakan bakal menantu tidak akan mampu menjaga anak perempuan mereka jika kenduri kahwin diadakan secara kecil-kecilan.
Baru sahaja memasuki 6 bulan usia perkahwinan, namun keputusan membuat pinjaman peribadi demi keinginan ibu bapa membuatkan pasangan ini bertambah menyesal kerana hidup cuma memikirkan hutang yang tidak habis-habis.
“Saya baru kahwin 6 bulan. Sepanjang 6 bulan ini saya lebih banyak menangis daripada gembira. Semua bermula sebelum majlis, ibu bapa saya paksa buat pinjaman untuk majlis kahwin.
“Kami berdua ni kerja biasa. Suami kerani saya pula kerja kontrak kerajaan. Saya bagitahu ibu bapa nak buat majlis kecil-kecil je panggil dalam 100 orang.
“Ibu bapa saya tak setuju sebab dia orang kata ramai saudara mara dan kawan-kawan dia orang kena jemput. Kalau tak nanti kecil hati.
“Bila cakap gitu dia orang macam tak yakin suami saya mampu jaga saya lepas kahwin sebab buat majlis kahwin pun kecil-kecil,” luahnya.
Tambah individu itu lagi, suaminya juga berkecil hati mengetahui apa yang diperkatakan orang tua belah isterinya, tetapi masih akur untuk membuat pinjaman peribadi yang dimahukan pihak keluarga wanita.
Akhirnya, mereka sendiri terpaksa berhempas pulas untuk membayar balik pinjaman sehingga suaminya perlu melakukan kerja sambilan untuk menangung hutang berbaki.
“Sekarang ini kami struggle nak bayar pinjaman. Suami balik kerja terus buat GrabFood. Saya jadi Dropship atas talian tapi itulah, sendu je jualan, kadang tak ada pun (jualan).
“Suami saya yang dulunya ceria sekarang banyak tidur je balik rumah. Penat katanya kerja tak habis-habis. Dia menyesal betul buat pinjaman tu. Kalau tak buat pinjaman kan dah aman hidup, balik kerja pejabat boleh rehat-rehat dengan saya,” katanya lagi.
Baca juga: 21 tahun jadi pemandu ambulan, lelaki tak tahan sebak bawa jenazah anak terlibat kemalangan
Baca juga: Jamal minta maaf selepas buat video fitnah perkauman menerusi TikTok