Pelampau kulit putih bunuh 51 jemaah masjid di Christchurch failkan rayuan hukuman penjara seumur hayat

Oleh NASUHA RAHMAN

Pelampau kulit putih yang membunuh 51 jemaah masjid di Christchurch memfailkan rayuan hukuman penjara seumur hayat.

Brenton Tarrant menyerang umat Islam yang hadir untuk menunaikan solat Jumaat pada Mac 2019, sambil melakukan penstriman langsung aksi kejamnya itu dengan menggunakan senjata api semiautomatik.

Semua mangsa adalah orang Islam dan termasuk wanita, orang tua dan kanak-kanak.

Tarrant mengaku salah pada 2020 atas 51 pertuduhan bunuh dan 40 pertuduhan cubaan bunuh, dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hayat tanpa parol.

Ia menjadikan kali pertama hukuman itu diputuskan di mahkamah di New Zealand.

“Rayuan terhadap sabitan dan hukuman sudah difailkan,” kata jurucakap Pejabat Ketua Kehakiman, Liz Kennedy, pada Selasa.

Ketika prosiding jatuh hukum kes itu pada Ogos 2020, Hakim Cameron Mander berkata, beliau menjatuhkan hukuman paling berat atas jenayah tidak berperikemanusiaan itu.

“Jenayah anda terlalu kejam, walaupun anda dipenjara sehingga mati, ia masih tidak setimpal,” katanya.

Peguam kepada Tarrant, Tony Ellis berkata, anak guamnya mendakwa pengakuan salah itu dibuat ketika dalam keadaan tertekan dan “memutuskan jalan paling mudah adalah dengan mengaku salah.”

Selepas penstriman langsung di Facebook selama 17 minit oleh Tarrant, Facebook berkata, ia mengeluarkan 1.5 juta video mengerikan kejadian itu dalam tempoh 24 jam selepas insiden berkenaan.

Baca juga: Tawaran pilihan raya beri laptop pada guru tidak praktikal, membazir baik baiki prasarana sekolah yang uzur-Guru

Baca juga: Tak mahu publisiti murahan, Wafariena tak selesa dengan pengakuan Iqbal