“Abang tengok saya ke?
“Abang, baju mana?” tanya si gadis bertudung dengan suara seakan bergetar ketika imej pada game memaparkan sosok lelaki tidak berbaju sedang memerhati karakter wanita dengan skirt paras paha.
“Bersenam, kan?
“Memang mak ciklah dia ni,” terdengar respon seorang lelaki spontan menjawab pertanyaan gadis yang dikenali sebagai Manja itu.
“Kurang ajarlah dia ni,” bidas Manja dengan suara manja diselang-seli tawa ditemani hampir 500 pelayar lain sepanjang dia bersiaran langsung.
Bersama kelebihan menuturkan dialog secara bersahaja mengikut pergerakan karakter dan latar, Manja turut membacakan beberapa komen pelayar dalam bentuk teks.
“Tengok baju awak mengidam durian crepe,” katanya membacakan salah satu komentar netizen sambil cuba menutup mulut menahan ketawa.
Itu antara situasi dan dialog yang kedengaran sepanjang siaran langsung satu permainan atas talian di Facebook selama dua jam yang dikongsikan Manja.
Mereka dilihat selamba ‘melepak’ dalam permainan video atas talian sambil ketawa dan usik-mengusik menerusi watak dan babak dalam game yang ditonton bersama.
Selain Manja yang dilihat memakai nama, Tyaedros Gaming dan lelaki ‘tidak berbaju’ pada awalnya itu, kedengaran juga beberapa suara lain.
Ibarat pelakon tambahan dalam filem, mereka sesekali didengar mencelah bergantung pada kemunculan watak dan aksi yang dipaparkan.
Dilihat bijak memastikan kesetiaan penonton, Manja dengan kelebihan suara yang merdu sempat mendendangkan lagu serentak watak dalam game online sedang mengadakan persembahan di pentas.
Dalam minit-minit terakhir bersiaran pula, Manja nampaknya sedikit didera rasa letih dan mungkin perut sudah berkeroncong.
“Laparlah. Korang makan apa?” tanyanya sambil menguap ketika jam menunjukkan kira-kira pukul 5.30 petang.
Manja sedang bermain Grand Theft Auto V sambil melayan usikan teman-temannya yang lain petang tadi ketika di luar alam online mereka, berlangsungnya kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada musim tengkujuh.
Si gadis bercermin mata itu antara 34 peratus pemilih baharu daripada lebih 21 juta pengundi yang akan membuang undi pada 19 November ini.
Dia juga antara kira-kira 3.8 juta pengundi muda berusia 18 tahun ke atas, iaitu generasi Z yang lahir dan membesar semasa era letusan teknologi maklumat (IT).
Sebelum mengakhiri permainan video kira-kira jam 6 petang tadi, Manja mengucapkan selamat tinggal sambil meninggalkan ciuman dengan bunyi yang kuat.
“Mmuuahh,” cumbunya mesra dengan bunyi kucupan yang panjang kepada hampir 500 penonton yang dilihat setia mengikuti siarannya.
Serentak itu juga, karakter wanita berskirt kuning memberikan isyarat jari hati iaitu simbol cinta yang dikenali kerap diguna selebriti K-pop dan peminat mereka.
Dalam masa sama, watak Adam yang sebelum itu beberapa kali diberitahu oleh Manja sebagai ‘boyfriend’ dalam game animasi tersebut meninggalkan penonton dengan menunjukkan jari tengah.
Bagaimana “kematangan” Manja, Adam dan rakan-rakan serta hampir 500 penonton yang dipercayai dalam lingkungan usia sama iaitu segmen pengundi muda dalam membuat pilihan pada PRU15 ini?
Apa yang mampu mempengaruhi trend undi generasi Z ini ketika sebahagian daripada mereka dilihat hanyut berjam-jam ‘melepak’ dan ‘bergaul bebas’ di alam siber dalam permainan video?
PRU15 mencipta sejarah tersendiri dalam proses demokrasi di negara ini apabila buat julung kalinya pemilih bawah usia 21 tahun didaftar secara automatik sebagai pengundi.
Daripada jumlah 21.1 juta keseluruhan pemilih, seramai 1.4 juta adalah remaja berusia 18 hingga 20 tahun diikuti 4.6 juta pemilih berumur 21 hingga 29 tahun.
Sementara itu, segmen umur pengundi terbesar berusia 30 hingga 39 tahun seramai 4,681,348 pemilih iaitu 22.11 peratus manakala seramai 3.6 juta adalah dewasa berusia 40 hingga 49 tahun.
Baca juga ‘Tolonglah letak jawatan! Bulan ni saja dah 6 kali gangguan LRT’
Baca juga Misi mencari jodoh diteruskan, lelaki tertinggi di dunia kecewa tak dapat beristerikan wanita Rusia