Seorang pemuda Cina terpanggil untuk berkongsi bagaimana cara orang Cina merancang majlis perkahwinan mereka selepas tular luahan seorang isteri yang menyesal membuat pinjaman peribadi sebanyak RM40,000 demi memenuhi keinginan ibu bapa yang mahukan majlis mewah di hotel.
Daripada luahan yang tular, pasangan ini memberitahu terpaksa berhempas pulas untuk membayar balik pinjaman sehingga si suami perlu melakukan kerja sambilan sebagai penghantar makanan untuk menangung hutang berbaki.
Seperti yang dikongsi pemuda yang dikenali sebagai Tai Zee Kin, bagi orang Cina, ibu bapa pihak perempuan tidak akan sesekali membiarkan bakal menantu mereka membuat pinjaman peribadi untuk melangsungkan perkahwinan.
Sekiranya pihak lelaki tiada duit, mereka tidak dibenarkan untuk berkahwin.
Bahkan menurutnya, ibu bapa di pihak wanita juga akan menggalakkan supaya menantu membuktikan kemampuan dengan membeli rumah terlebih dahulu sebelum meminang anak perempuan mereka.
Selain itu, orang Cina juga mengamalkan pemberian Angpow seperti budaya Melayu yang mengamalkan ‘salam kaut’, namun orang Cina terbiasa dengan pemberian Angpow yang berjumlah agak besar sekitar RM150 hingga RM500 mengikut jumlah keluarga yang hadir.
Kami kongsikan penjelasan menarik Zee Kin seperti yang dikongsi di Facebook miliknya.
Ini cara orang Cina layan isu majlis perkahwinan.
Ibu Bapa pihak wanita akan galakkan supaya menantu buktikan kemampuan membeli rumah dulu sebelum meminang atau merisik. Lazimnya dengan cara lembut (soft approach) untuk memastikan nama anak perempuan mereka muncul dalam geran tanah/rumah.
Bila dah mampu beli rumah, ada kereta, baru ‘mula’ proses meminang atau merisik atau buat ‘marriage proposal’.
Selepas itu, kami akan ‘daftar perkahwinan dulu’ bawah ROM (pendaftar perkahwinan). Jadilah suami isteri sah undang-undang dahulu sebelum majlis.
Ambilah masa secukupnya untuk membuat rancangan majlis perkahwinan. Banyak antara kaum cina yang mengaturkan majlis perkahwinan dari 6 bulan hingga 2 tahun setelah mendaftarkan perkahwinan dengan ROM.
Pasal majlis ini, biasa ada dua jenis
Jenis pertama ialah dua majlis berasingan (lazim untuk keluarga pengantin lelaki dan wanita yang berkampung di tempat belainan.
Contoh, keluarga pengantin lelaki di Sungai Petani Kedah, keluarga pengantin perempuan di Seremban, Negeri Sembilan. Ibu bapa pengantin akan saling hadir.
Jenis kedua adalah majlis yang bergabung (dua dalam satu) di mana hanya ada 1 majlis sahaja untuk kedua-dua belah pihak pengantin.
Saudara Mara dua pihak akan hadir majlis yang sama. Majlis sebegini biasa berlaku kalau pasangan pengantin berasal dari tempat yang sama.
Bagi cina, pantang ambil personal loan untuk membuat majlis perkahwinan. Tidak dibenarkan.
Ibu bapa akan kata ‘kalau tiada duit, kami tak benarkan kahwin’. Simpan, cari duit dulu. Non negotiable. Tidak akan berlaku.
Ibu bapa biasa kalau mampu, akan simpan duit untuk perkahwinan anak masing-masing. Mereka akan bagi duit kepada anak-anak untuk ringankan beban mereka.
Budaya Cina berpisah tiada dengan ‘Ang Pow’. Kalau pernah hadiri perkahwinan Cina, depan dewan biasanya ada satu meja kaunter pendaftaran. Kaunter ada dwi-fungsi. Pertama pendaftaran, kedua, ‘rekod duit Angpow’.
Pasal angpow perkahwinan ini, dia ada ‘kadar rujukan’ mengikut jenis majlis (hotel, restoran, dewan orang ramai), lokasi (hotel 5 star Bukit bintang, atau restoran Jade Garden Sungai Petani).
Dan juga berapa intim hubungan (pek pek, emem, ah cik, ah sim bagi lebih. Biao shu, shu po, yi po, biao jie bayar kurang sikit. Kawan karib bagi lebih, kawan tak sekarib bagi kurang sikit.
Saudara mara sudah tahu, untuk bagi amoun berapa dalam angpow ikut kadar tersebut.
Sebagai contoh, kalau RSVP majlis di Hotel 4/5 bintang, RM150-250 adalah biasa bagi setiap yang hadir. Ibu akan tanya dalam kumpulan WhatsApp – berapa yang akan hadir majlis perkahwinan sepupu? Ibu nak buat anggaran angpow.
Kalau keluarga ada 3 yang hadir, ibu mungkin akan sediakan angpow RM500. Kalau ibu seorang sahaja yang hadir, mungkin RM200.
Kalau buat di restoran makan di Tampin, mungkin kadarnya RM50-RM80.
Bila sampai depan kaunter rekod angpow, zaman dulu-dulu dia akan terus buka angpow (sekarang dah jarang, dia buka bila majlis habis di rumah) dan buat catatan amoun angpow
Tai Zee Kin (Sepupu belah pengantin wanita) – RM250
Chew Hoong Ling (sepupu xxxx) – RM300
Joan Lai (Yi Poh) – RM500
Jadi, bila bagi angpow, kami akan tulis dengan jelas nama di belakang angpow itu untuk memudahkan rekod. Wajib. Tak percaya? Hadirlah majlis perkahwinan Cina, perhatikan angpow mereka bagi. Mesti ada tulis nama di belakang.
Buku catatan angpow ini, pihak ibu bapa pengantin akan simpan dengan baik. Hari kemudian bila ada anak sesiapa kahwin, ibu akan buka buku catatan tersebut (selalu disimpan dalam laci altar dewa dewi), dan cari juga berapa yang dia atau ibu bapa dia bagi masa majlis perkahwinan anak sendiri.
Dia akan balas amoun tersebut dan top up sikit lagi. Kalau yang kahwin itu adalah anak tunggal, ibu akan top up lagi angpow tu.
Maka, dalam banyak majlis perkahwinan Cina, pasangan pengantin akan dapat ‘lebihan’ wang dari angpow : cukup untuk membayar semua belanja dan kos majlis, siap ada baki lagi. Baki ini akan dibelanjakan untuk cuti bulan madu, atau beli rumah.
Budaya ini diwarisi sejak ribuan tahun sampai sekarang. Ang Pow Majlis perkahwinan seolah-olah menjadi ‘pelaburan’ yang bakal meraikan keuntungan.
Kami sampai sekarang tidak pernah hadir majlis perkahwinan Cina tanpa memberi angpow dengan amaun yang setimpal.
Budaya ini tidak terpakai untuk mereka yang ‘mampu’ dan ‘moden’ ala barat. Keluarga yang cukup kaya, mungkin akan suruh jangan bagi angpow. Mereka adalah golongan minoriti.
Saya berasa budaya ribuan tahun ini harus diteruskan kerana ia memperlihatkan sifat kebergantungan dan memupuk semangat ‘komunal’ dengan mendalam.
Nasihat saya kepada kaum lain – Jangan benarkan anak-anak membuat pinjaman peribadi untuk majlis perkahwinan.
Halangkan anak-anak daripada perbuatan ini yang boleh memusnahkan masa hadapan mereka demi nafsu ‘ego’ sendiri untuk sehari.
Baca juga: ‘Kedai kat mana ni, banyak sup dia’ – Pelanggan teruskan makan walaupun kedai dah naik air
Baca juga: “Who is this woman”- Pencetus idea bendera putih, Kak Jah dapat perhatian masyarakat antarabangsa