Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat keputusan mengenai status Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sama ada akan diteruskan atau ditunda ekoran banjir melanda beberapa kawasan.
Menurutnya, keputusan itu penting demi memberi kemudahan kepada calon dan juga pengundi yang akan melaksanakan tanggungjawab mereka, Sabtu ini.
“Saya rasa penting untuk memahami urusan pilihan raya yang mana ada peruntukan untuk menunda. Bukan buat pilihan raya semula tetapi menunda, jadi jangan salah faham maksud saya.
“Yang mendesak dan minta pilihan raya ini diteruskan adalah Umno dan Barisan Nasional (BN) walaupun tahu ketika ini musim banjir, jadi bila dah teruskan kita hormati proses itu.
“Sama juga proses kalau perlu tunda contoh di kawasan seperti Klang (Selangor) yang ketika ini sudah mengalami banjir, maka perlu buat sekarang (umum) bagi memudahkan calon yang bertanding dan juga pengundi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Yayasan Aman, Penanti, Bukit Mertajam, hari ini.
Dalam masa sama, Nurul Izzah mengingatkan SPR agar membuat keputusan tanpa dipengaruhi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau tidak dapat menerima jika keputusan tunda PRU15 dibuat pada saat akhir yang bakal menyusahkan ramai pihak dan meminta SPR menjadi sebuah badan bebas daripada dipengaruhi mana-mana parti politik.
Kelmarin, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca baik waktu pagi di beberapa negeri, pada hari pengundian pada PRU15, Sabtu ini.
Bagaimanapun, MetMalaysia menjangkakan ribut petir dan hujan di kebanyakan negeri pada sebelah petang, terutama di Pantai Timur serta negeri di sebelah utara iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.