Isu Kampung Bharu masih jadi keutamaan, ini tawaran Khalid Samad buat pengundi Titiwangsa

Oleh KIM SYAZIE

Calon Pakatan Harapan (PH) di P.119 Titiwangsa, Khalid Samad komited menyatakan isu penting berkenaan pembangunan Kampung Bharu akan menjadi keutamaannya jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Khalid berkata, beliau melihat banyak masalah yang masih tidak selesai sehingga kini termasuklah projek-projek terbengkalai yang ditinggalkan begitu sahaja di Titiwangsa.

Terutama projek pembangunan Kampung Bharu, ia sering disebut-sebut namun tiada pihak bersungguh untuk membangunkan kawasan tersebut.

Pada 2020, Khalid telah memutuskan membuat tawaran baharu kepada penduduk Kampung Baru untuk membeli tanah untuk pembangunan semula di kawasan berkenaan pada harga RM1,000 satu kaki persegi berbanding RM850 sebelum ini.

Bersandarkan harga baharu itu, RM850 diberikan secara pulangan tunai, manakala baki RM150 berbentuk pulangan dalam pegangan saham

Bagaimanapun setahun selepas kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri mengambil alih Putrajaya, isu Kampung Bharu hangat diperkatakan semula apabila kira-kira 20 penduduk Kampung Sungai Baru diarahkan untuk mengosongkan unit mereka.

Pengambilan tanah di Kampung Bharu ketika itu dibuat melalui Akta Pengambilan Tanah 1960.

Penduduk juga mendakwa pampasan yang diberikan kepada mereka hanya berjumlah RM250,000 atau RM400 sekaki persegi yang dianggap terlalu rendah berbanding tawaran pada zaman PH dahulu.

“Saya telah datang ke Titiwangsa dan melihat bahawa ada banyak masalah yang tidak selesai sehingga kini.

“Ianya merupakan masalah yang telah lama wujud antaranya masalah pembangunan Kampung Bharu yang perlu dilakukan secara bersepadu dan menyeluruh.

“Dari dulu hingga sekarang ianya disebut-sebut tetapi tidak ada usaha yang bersungguh-sungguh dan yang terancang seperti yang dilakukan PH,” katanya dalam satu video pendek disiarkan di Facebook.

Selain itu, Khalid yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional menekankan isu projek terbengkalai sejak tahun 2015 hingga kini di Parlimen Titiwangsa.

Beliau menyatakan harapan untuk menambah baik kawasan-kawasan seperti Pasar Keramat, Pasar Chow Kit, dan menyelesaikan masalah parkir bertingkat yang ingin dibina untuk penduduk perumahan kos rendah (PPR).

Khalid juga tekad untuk membela nasib penduduk flat di Seri Perlis 1 dan 2 di Kampung Datuk Keramat yang dihimpit masalah status pemilikan sejak 41 tahun yang lalu.

“Mereka yang hidup di perumahan awam seperti Seri Perlis 1 dan 2 inginkan pemilikan setelah menyewa rumah-rumah untuk berpuluh thun.

“Ini merupakan masalah-masalah yang akan saya tangani dan cuba selesaikan dengan cara terbaik bagi semua pihak terlibat.

“Begitu juga persoalan infrastruktur, banjir, dan sebagainya yang perlu diberikan keutamaan apabila seseorang menjadi Ahli Parlimen,” katanya lagi.

Parlimen Titiwangsa akan menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Khalid yang mewakili PH, Johari Abdul Ghani dari Barisan Nasional (BN), Rosni Adam dari Perikatan Nasional (PN) dan Khairuddin Abu Hassan (Pejuang.

Sementara itu, seorang lagi pengundi Titiwangsa Dzulafian Idris, 48, menjangkakan persaingan sengit antara Khalid dan Johari memandangkan kedua-dua individu terbabit merupakan nama besar dalam politik negara.

Baca juga: Hari terakhir untuk pengundi buat keputusan pilih perdana menteri

Baca juga: PRU-15: “Saya sudah lakukan yang terbaik!” – Ramanan