Selepas BN kalah teruk, penyokong hujani FB Zahid dengan desakan letak jawatan

Oleh KIM SYAZIE

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 semalam menyaksikan Barisan Nasional kalah teruk kepada Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan, dengan hanya memenangi 30 kerusi Parlimen sahaja.

PN pernah bekerjasama dengan kerajaan BN pada PRU14 lalu bagi menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun memutuskan tidak meneruskan kerjasama dalam PRU15 di tengah-tengah desas desus mengatakan dua parti itu bakal bergabung bagi membentuk kerajaan.

Selepas BN tewas dalam keputusan pengundian semalam, Zahid Hamidi sebagai presiden pula dipersoal kewibawaannya kerana hanya meraih majoriti 348 undi menentang calon yang bukan berasal dari Bagan Datuk.

Zahid meraih 16,578 undi, manakala Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-PKR) mengejar rapat dengan 16,230 undi.

Dr Muhammad Faiz Na’aman (PN-Bersatu) 8,822 undi dan Tawfik Tun Dr Ismail (Bebas) 226 undi.

Lantaran itu, ramai yang mendesak Ahmad Zahid segera meletakkan jawatan mengambil kira beliau adalah punca pengundi menolak BN.

“Letak jawatanlah presiden seperti mana dilakukan Najib. Ini kekalahan terburuk BN,” komen pengguna Facebook.

“Letak jawatan! Jangan acah-acah nak tolong baiki. Tak payah tengok kiri kanan cari punca. Tengok cermin dah jumpa,” komen yang lain.

Selain penyokong BN, bekas Setiausaha Agung BN Tan Sri Annuar Musa turut memuatnaik hantaran di Facebook mencadangkan hal sama agar pemimpin yang terbukti gagal, berundur dan meletak jawatan susulan kekalahan BN hari ini.

“Usah berlengah lagi, ketepikan semua ego dan yang gagal berundurlah. Galas tanggungjawab!,” katanya.

Ketika ini tiada mana-mana parti yang memperoleh majoriti undian apabila HARAPAN hanya meraih 82 kerusi, diikuti Perikatan Nasional yang baru tertubuh hanya dua tahun (73 kerusi), BN (30), GPS (22), GRS (6), Warisan (3), PBM (1) dan Bebas (2).

Manakala parti di bawah naungan Tun Dr Mahathir Mohamad hilang kesemua deposit dan gagal mendapatkan mana-mana kerusi bertanding.