Sindir menteri – Penjual mi ditahan, rumah digeledah

Oleh ARIF ATAN

Seorang penjual mi di Vietnam ditahan selepas menyindir menteri yang menikmati stik bersalut emas 24 karat berharga AS$1,725 (RM7,759).

Bui Tuan Lam, 38, dalam parodi aksi chef selebriti Turkiye, Nusret Gokce atau lebih dikenali sebagai Salt Bae, berkongsi rakaman video terbabit yang meraih perhatian rakyat negara itu.

Rata-rata pengguna media sosial mempertikaikan harga stik itu yang didakwa jauh lebih mahal berbanding gaji bulanan yang diterima menteri antara AS$600 (RM2,698) dan AS$800 (RM3,598).

Parodi ‘Green Onion Bae’ itu dimuat naik beberapa hari selepas Menteri Keselamatan Awam, Jeneral To Lam menjamu selera hidangan mewah terbabit di sebuah restoran di London.

Isteri Tuan Lam, lapor Agensi, memberitahu bahawa pihak berkuasa turut kembali semula untuk menggeledah rumah mereka.

“Kami telah bersedia dengan hukuman yang bakal dikenakan sejak Tuan Lam dipanggil polis pada November tahun lalu,” kata isterinya.

Tuan Lam ditahan di bawah Artikel 117, satu klausa yang menetapkan tindakan mengeluarkan atau menyebarkan maklumat yang dianggap antinegara sebagai perbuatan jenayah.

Polis memaklumkan pihaknya telah berulang kali memberi amaran kepada Tuan Lam supaya tidak menyiarkan kandungan yang menghina kehormatan dan reputasi pemimpin.