Bawa watak Anwar Ibrahim-Farid Kamil sahut cabaran

Oleh NASUHA RAHMAN

Mengakui cerita mengenai tokoh ini sukar dilaksanakan, ia tidak menjadikan kekurang buat Farid Kamil yang memegang watak Datuk Seri Anwar Ibrahim malah pelakon tersebut sanggup menerima cabaran demi filem tersebut.

Walaupun bukan pilihan utama untuk bawa watak Presiden PKR, Farid menganggap itu sebagai pengalaman dan cabaran dari produksi Indonesia, Bianglala Entertainmen kerana tidak pernah membawakan watak tokoh dan pemimpin politik yang masih aktif.

“Ketika menerima tawaran berlakon, saya dimaklumkan tiada pelakon, kru atau pengarah yang berani untuk hasilkan cerita mengenai tokoh itu.

“Saya adalah pilihan terakhir produksi Indonesia itu. Produksi pernah memberikan tawaran membawa watak itu kepada pelakon tempatan lain, tetapi mereka menolak dengan alasan tidak berani.

“Namun, saya berani ambil kerana jika takut dengan risiko, usah bicara soal perjuangan,” katanya kepada Utusan.

Filem mengenai Anwar yang diarahkan oleh Viva Westi menampilkan Farid memegang watak utama bergandingan dengan pelakon Indonesia, Acha Septriasa sebagai Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Kagum dengan Anwar Ibrahim

Berkongsi pengalaman bertentang mata dengan Anwar, Farid berkata, dia sangat mengagumi tokoh politik itu yang menempuh ranjau penuh berduri dalam sepak terajang dunia politik.

“Banyak maklumat tambahan yang saya dapat daripada pertemuan itu, terutama tentang diri dan perjuangannya. Ia membantu saya untuk menterjemahkan watak Anwar dengan lebih berkesan,” katanya.

Oktober lalu, Anwar memuat naik foto bersama Farid dalam media sosial dan menjelaskan pertemuan mereka bertujuan membincangkan perkara berkaitan seni, budaya dan industri perfileman negara.

Baca juga: 8 intipati ditekankan Anwar selepas dilantik Perdana Menteri Malaysia ke-10

Baca juga: Pengurus lepaskan tembakan rawak sebelum bunuh diri, pekerja Walmart trauma