Gara-gara geram anak banyak tonton TV, ibu bapa hukum anak berjaga sepanjang malam

Oleh ARIF ATAN

Gara-gara geram melihat anaknya banyak menonton TV, sepasang suami isteri di China menghukum anak mereka berjaga sepanjang malam dengan memaksa kanak-kanak itu menonton rancangan kegemarannya.

Pasangan dari wilayah Hunan, tengah China itu mulanya menyuruh anak mereka berusia lapan tahun menyiapkan kerja sekolahnya dan tidur pada pukul 8.30 malam, sebelum mereka keluar.

Walau bagaimanapun, lapor Oddity Central dipetik Agensi, apabila pulang ke rumah, pasangan itu menemukan anak lelakinya masih lagi menonton televisyen walaupun sudah melepasi waktu tidurnya.

Lebih meledakkan rasa marah ibu bapa berkenaan, apabila didapati anaknya tidak menyiapkan kerja sekolah sehingga menyebabkan mereka marah dan memutuskan untuk menghukumnya.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) rumah itu yang tular dalam media sosial di China, kejadian tersebut berlaku pada malam 11 November lalu.

Pasangan itu menghukum anaknya dengan menyuruh kanak-kanak itu menonton rancangan kegemarannya di televisyen sepanjang malam dan bergilir-gilir mengawasinya supaya mereka boleh memaksanya untuk berjaga.

Budak itu pada mulanya kelihatan tenang menonton TV tetapi kemudiannya selepas beberapa jam, dia mula menjadi letih dan semakin mengantuk.

Dia juga dilihat cuba memasuki biliknya untuk tidur tetapi dipaksa oleh ibunya untuk terus menonton televisyen lagi.

Pada pukul 2 pagi, kanak-kanak itu mula menangis dan merayu pada ibunya untuk dibenarkan tidur namun tidak berjaya.

Dia turut terlelap di sofa beberapa kali namun ibu atau bapanya akan mengejutkannya untuk terus menonton televisyen.

Semakan pada rakaman CCTV itu mendapati, budak berkenan hanya dibenarkan tidur kira-kira pukul 5 pagi.