Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelantikan Menteri Besar Perak dan Pahang adalah mercu landskap politik baharu di negara ini.
Katanya, kerjasama BN dan PH dalam membentuk kerajaan di Perak dan Pahang adalah berdasarkan prinsip untuk membawa kestabilan kepada kerajaan negeri dan memastikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat.
“Kini adalah masa untuk bekerja dan memastikan segala aspek urusan pembangunan untuk diberikan perhatian sebagai jalan bergerak ke hadapan.
“Kesan suasana ekonomi dunia yang mencabar, perlu ditangani dengan lebih baik di peringkat tempatan agar tidak memberikan kesan berterusan kepada negeri dan negara,” kata beliau dalam satu kenyataannya hari ini.
Katanya, kerjasama yang dibina oleh BN Perak dan Pahang juga memancarkan realiti masyarakat berbilang kaum dan meraikan kepelbagaian sesuai dengan demografi negeri yang merupakan asas kepada pembentukan kerjasama strategik.
“Kerjasama antara blok adalah pilihan dan pendekatan baharu ini akan menjadi perintis kepada perpaduan dan keharmonian kerajaan agar fokus pembangunan dapat diteruskan.
“Keterbukaan ini mencerminkan bahawa BN-PH merintis jalan baharu untuk membawa politik centrik, jalan kesederhanaan dan matang,” katanya.
Bagi beliau, kesemua langkah ini adalah selari dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan yang diilhamkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan kini ia berbentuk kerajaan campuran selepas Perikatan Nasional menolak menyertainya.
“Namun semangat perpaduan tetap menjadi inti atau teras utama kerajaan ini,” katanya.
Zahid juga berkata, kerjasama strategik ini tidak mengabaikan prinsip Umno.
“Perlu difahami bahawa prinsip menolak sebarang kerjasama dengan PKR, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) adalah untuk berdepan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 dan bukannya untuk pasca pilihan raya.
“Selepas pilihan raya umum, marilah kita merapatkan barisan. Umpama ‘lidi seikat’ ini perlu bagi menyapu segala kotoran yang telah dilemparkan kepada UMNO dan pembersihan ini penting bagi memastikan laman politik tidak kotor luar dan dalam,” katanya.
BACA JUGA NGO Islam buat laporan polis terhadap Presiden Pas