Rakaman pergaduhan ahli politik pembangkang dan kerajaan ketika sidang Parlimen Senegal beberapa hari lalu dirakam dan dikongsi secara meluas di media sosial sehingga mencetuskan perdebatan netizen di negara itu.
Kekecohan bermula apabila seorang ahli politik wanita di Senegal dilaporkan ditampar kerana ketidaksopanannya oleh Ahli Parlimen pembangkang lelaki sehingga mencetuskan pergaduhan lebih buruk.
Insiden kejadian pergaduhan tersebut berjaya dirakam dan disiarkan di televisyen. Pergaduhan itu dikatakan berlaku kerana persengketaan antara ahli politik parti pemerintah dan pembangkang.
Sejak pilihan raya perundangan Julai lalu, parti pemerintah kehilangan majoriti selesa di tengah-tengah kebimbangan Presiden Macky Sall akan memohon untuk bertanding penggal ketiga pada 2024, lapor Daily Mail.
Semasa pembentangan bajet pada 1 Disember lalu, ahli parlimen pembangkang Massata Samb meluru ke arah Amy Ndiaye Gniby daripada pakatan pemerintah Benno Bokk Yakaar (BBY) dan kemudian bertindak menamparnya sehingga mencetuskan pergaduhan.
Gniby berindak balas dengan mencampakkan kerusi ke arah Samb sebelum ahli parlimen lain memukulnya ke lantai.
Sesi parlimen itu digantung kerana suasana tegang apabila ahli parlimen saling berbalas pukulan serta menghamburkan kata-kata kesat antara satu sama lain.
Lapor Reuters, sebelum itu, Samb dikatakan sedang berucap dengan mengulas tentang komen yang dibuat Gniby pada hujung minggu lalu di mana dia mengkritik kepimpinan Presiden Sall yang berpotensi untuk bertanding semula sebagai presiden.
Gniby turut mengejek kenyataannya dan menyatakan dia tidak peduli seterusnya tercetus kekecohan di Parlimen itu.
Baca juga: Rumah Kim Kardashian berharga RM101 juta, tapi ramai tak sanggup duduk sebab terasa aura seram