‘Tak pakai tali leher pun beberapa keputusan dasar sudah dicapai’ – Rakyat puji penampilan Perdana Menteri

Oleh ARIF ATAN

Rata-rata rakyat memuji penampilan dan gaya berpakaian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat santai tanpa mengenakan tali leher.

Apa yang penting bagi orang ramai, adalah kualiti kerja Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu yang juga memegang portfolio kewangan dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

“Tak pakai tali leher pun beberapa keputusan dasar sudah dicapai. Kualiti kerja DSAI itu yang seluruh warga nilaikan,” kata pengguna Twitter, @alteregos711.

Ramai juga yang berpendapat pemakaian tali leher hanyalah warisan pentadbiran kolonial di tanah air ini malah tidak sesuai pun sebenarnya dengan iklim tropika.

“Panas cuaca di Malaysia ni nak pakai tali leher. Kalau tengok kebanyakan MNC (syarikat multinasional), GLC (syarikat berkaitan kerajaan), banyak syarikat lain pun dah tak pakai.

“Siapalah yang perkenal pakai sut neck tie segala di Malaysia ni. Tak sesuai langsung sebenarnya dengan cuaca kita,” demikian antara komentar netizen.

Ada yang turut menyifatkan tindakan Anwar tidak memakai tali leher itu sebagai mesej menolak sebarang hadiah atau cenderahati daripada individu berkepentingan.

Dalam masa sama, warga maya berpendapat Anwar ingin menzahirkan imej kepimpinannya kepada penjawat awam yang mudah didekati tanpa perlu terlalu banyak protokol.

Tidak kurang pula yang berseloroh Ahli Parlimen Tambun itu cuba untuk menangkis tuduhan prejudis yang mengaitkannya sebagai ‘ejen’ berkonotasi negatif.

“Alah! Sebenarnya Anwar tak pakai tali leher sebab ramai sangat orang tuduh dia ejen itu, ejen ini.

“Anwar je PM yang berani tak ikut sangat budaya Barat,” kata warganet lagi.

Baca juga Kunjungan PM 9 kepada PM 10 kukuhkan kestabilan negara

Baca juga Polis siasat individu muat naik video cemar imej PDRM