Letak kapsyen ‘polis sedang cari makan’, pengguna TikTok diburu cuba cemar imej PDRM

Oleh KIM SYAZIE

Polis sedang menyiasat satu video tular berunsur fitnah terhadap seorang pegawai polis yang sedang menjalankan tugas ketika operasi penguatkuasaan lalu lintas, berhampiran lampu isyarat di PJS 3/44 di Petaling Jaya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya mengesan video yang dimuat naik di aplikasi TikTok itu pada jam 6.30 petang kelmarin

Klip video dimuat naik pemilik akaun @goodmorninglim memaparkan seorang pegawai polis sedang bertugas semasa operasi penguatkuasaan lalu lintas berhampiran lampu isyarat Jalan PJS 3/44 bagi mengesan pemandu yang menggunakan alat komunikasi semasa memandu.

“Video tersebut turut disertakan dengan kapsyen menyindir iaitu “05/12 Look got people here (Lihat ada orang di sini) cari makan” dan emoji muka ketawa bersama karung wang,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Beliau berkata perbuatan individu memuat naik video klip tersebut boleh mendorong masyarakat memandang serong terhadap tugas polis selaku penjawat awam dan menjatuhkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi kesalahan fitnah dan penyalahgunaan media sosial.

“Polis menasihatkan masyarakat supaya tidak menyalahgunakan media sosial, menyebarkan berita tidak benar dan membuat spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam,” katanya lagi.

Baca juga: Isu judi: Kekalutan Pas menangkis dan menepis

Baca juga: [VIDEO] Semangat membantu rakan tu dah ada, tapi ada sesuatu yang buat netizen geli hati…