Dipecat Umno? Annuar mimpi ditarik keluar dari api, mampu lihat rumah pusaka terbakar

Oleh ARIF ATAN

Ketua Umno Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa hari ini memberi isyarat mengenai kedudukannya dalam parti itu susulan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, malam tadi.

Menerusi tulisannya di Facebook, beliau memberitahu bermimpikan rumah pusaka yang didiaminya terbakar selain berkongsikan gambar membantu kempen BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 bagi kerusi Parlimen Padang Serai.

“Malam Jumaat, saya bermimpi. Rumah pusaka saya diami terbakar. Saya syak ada ‘main switch’ dah ‘short circuit’ atau wayarnya terputus.

“Saya sayang rumah itu.Saya cuba memadam kebakaran supaya jangan lebih ramai penghuninya lari.

“Ketika api masih marak dan ramai yang terus lari meninggalkan rumah, tiba-tiba saya ditarik keluar dari api yang membakar. Kini saya hanya mampu melihat kebakaran dari luar.

“Walaupun saya amat sayang rumah itu,saya hanya mampu berdoa,” katanya memohon supaya ‘rumah’ yang terbakar itu diselamatkan.

Memetik laporan BH, Annuar dipercayai antara tiga pemimpin Umno yang dipecat keahliannya pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, malam tadi.

Dua lagi, dipetik BH, adalah Ketua Wanita Umno Bahagian Arau, Datuk Seri Shamsiah Yasin, yang juga isteri bekas Ketua Umno bahagian itu, Datuk Seri Shahidan Kasim serta Ketua Wanita Umno Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim.