Dua pelancong ditemui lemas manakala seorang lagi mangsa diselamatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Pantai Chenang, Langkawi malam tadi.
Ketua Bomba Zon Langkawi, Penguasa Bomba Mohd Zamri Abdul Ghani, dilapor berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada jam 7.38 malam.
Menurutnya, sebuah jentera penyelamat bomba bersama Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, komander operasi melaporkan tiga lelaki terbabit dalam kejadian dengan seorang daripadanya diselamatkan oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Menerusi operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kedua ditemukan pasukan Bomba jam 8.40 malam, diikuti mangsa ketiga empat jam kemudian,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, mangsa kedua dan ketiga yang ditemui disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Tambahnya, operasi SAR tamat sepenuhnya pada jam 1.40 pagi tadi.
Baca juga Didakwa terima ugutan bunuh – Wartawan pro LGBTQ mati di Qatar