Guna medium TikTok untuk jernihkan kembali isu sentimen kaum, agama

Oleh ARIF ATAN

TikTok tidak dinafikan adalah satu platform yang banyak digunakan rakyat Malaysia yang lebih muda usianya, jadi disebabkan itu mereka lebih senang untuk mendapatkan informasi daripada medium tersebut.

Pensyarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM) Dr. Abdul Muqit Muhammad berpendapat Pakatan Harapan (PH) lebih tertumpu kepada Twitter untuk kempen politik lalu berbancing medium TikTok yang banyak dieksploitasi tentera siber Perikatan Nasional (PN) sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lagi.

“Luaskan medium untuk anak muda, medium TikTok ini sebenarnya dah ada sebelum PRU 15 lagi dan nampak ia lebih memihak kepada PN.

“Saya hairan kenapa PH tak gunakan tiktok sebagai tumpuan utama semasa berkempen untuk mencari undi 18 malah kempen PH lebih banyak tertumpu pada Twitter, facebook dimana keterlibatan pengundi 18 sangat rendah.

Abdul Muqit juga menyatakan kepentingan Menteri Komunikasi Digital, Fahmi Fadzil dalam menjernihkan kembali isu berbaur sentimen dan perkauman yang jelas wujud ketika PRU 15 berlangsung.

“Selepas ini penting untuk PH atau Kerajaan Perpaduan ini untuk lawan balik naratif yang dimainkan pembangkang.

“Sekarang ini Fahmi Fadzil adalah individu penting untuk menyelesaikan isu dan menjernihkan semula pemikiran politik anak muda ini.

“Kita faham isu dekat tiktok ini kebanyakkannya berbau sentimen, politik perkauman dan sebagainya. Ini perlu dijernihkan kembali oleh Menteri Komunikasi Digital.

Abdul Muqit berjaya menulis tesis bertajuk ‘Keterancaman Melayu dalam era pentadbiran Pakatan Harapan 2018-2020’ dalam masa tiga tahun.

Tesis tersebut mengkritik beberapa pendekatan, gagasan dan corak pentadbiran PH yang bertentangan dengan aspirasi dan psikik Melayu.