Sumber memberitahu Malaysia Dateline, rumahnya di Kampung Temila di Pasir Puteh ditenggelami banjir paras dada sejak malam tadi susulan hujan sangat lebat yang luar biasa.
Menurut Zaidi Mohammad, banjir besar yang melanda Kelantan kali ini khususnya di kampungnya adalah paling teruk sejak 1970-an.
“Rumah saya tenggelam paras dada. Barangan rumah dah tenggelam habis. Pasir Puteh… bomba dah jem. Orang kampung saya masih ramai yang terperangkap.
“Mohon sangat bantuan segera daripada pasukan penyelamat,” katanya melalui pesanan WhatsApp kepada Malaysia Dateline sebentar tadi.
Menurutnya, banyak kawasan di jajahan Pasir Puteh yang tidak pernah dinaiki air tetapi kini ditenggelami bah, antaranya, Kampung Bukit Tanah di Selising.
“Pertama kali dalam sejarah, kampung ini (Bukit Tanah) banjir. Sebelum ini tak pernah banjir,” ujarnya.
Malah, katanya, difahamkan terdapat sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) turut dinaiki air.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan jam 10 malam tadi mengeluarkan amaran jangkaan hujan berterusan melanda Kelantan, Terengganu dan Pahang sehingga Rabu, 21 Disember ini.
Sementara itu, semakan menerusi laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my mendapati tujuh stesen JPS di Kelantan merekodkan bacaan air sungai melepasi paras bahaya setakat jam 10 pagi tadi.
Berikut senarai tujuh stesen JPS terbabit:
- Sg. Lebir di Kg. Tualang di Kuala Krai – 38.92m melepasi paras bahaya 35.00m
- Sg. Lanas di Air Lanas di Jeli – 29.52m melepasi paras bahaya 29.50m
- Sg. Golok di Kg. Jenob di Tanah Merah – 24.74m melepasi paras bahaya 23.50m
- Sg. Golok di 5818401 di Tanah Merah – 24.58m melepasi paras bahaya 23.50m
- Sg. Golok di Rantau Panjang di Pasir Mas – 10.66m melepasi paras bahaya 9.00m