Usul percaya perkukuh kedudukan PM, tapi perlu berjaga dengan konspirasi politik tumbangkan kerajaan Anwar

Oleh KIM SYAZIE

Usul undi Percaya di Parlimen semalam dianggap telah mengukuhkan kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 untuk tempoh lima tahun akan datang.

Bagaimanapun veteran DAP Lim Kit Siang berkata, Pakatan Harapan (PH) masih perlu berjaga-jaga dengan kemungkinan berlakunya konspirasi politik Langkah Sheraton 2.0 untuk menumbangkan kerajaan Anwar dengan lebih awal.

“Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) telah menunjukkan perkara ini dengan jelas dalam perbahasan di Parlimen semalam.

“Dalang di sebalik konspirasi politik Langkah Sheraton 2.0 kini perlu sedar yang selepas undi percaya di Parlimen semalam, rancangan mereka ini tidak berkemungkinan untuk terjadi dalam beberapa bulan yang akan datang seperti yang dijangkakan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu Lim menganggap undi percaya telah memberikan kelegaan dan ruang untuk menetapkan semula hala tuju pembinaan negara terutama untuk menghentikan kemerosotan ekonomi negara.

Walaupun Ahli-ahli Parlimen PN tidak membantah usul ini, namun Lim berkata, amat malang sekali apabila mereka memilih untuk berdalih mengenai perkara-perkara remeh dan bukannya menumpukan perbahasan kepada keperluan untuk menyelamatkan Malaysia dari menjadi sebuah negara gagal, berpecah belah, dan kleptokratik dalam beberapa dekad yang akan datang.

“Hanya ada seorang sahaja Ahli Parlimen yang bercakap mengenai kemerosotan negara dan menggesa Ahli-ahli Parlimen untuk memperbetulkan ekonomi, bukannya untuk berdalih mengenai perkara-perkara remeh,” katanya yang merujuk kepada Ahli Parlimen Titiwangsa, Johari Ghani.

Johari pada semalam menyatakan kegusarannya melihat kadar keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara yang tidak berkembang dari tahun 2018 sehingga 2021, yang berada pada paras -0.1 peratus, manakala KDNK Indonesia mencatatkan perkembangan 11.8 peratus, diikuti oleh Vietnam (24.2 peratus), Thailand (9.7 peratus), dan Filipina (19.3 peratus).

Beliau turut memberi amaran bahawa Malaysia mungkin beralih ke arah yang sama seperti Sri Lanka, yang mengalami krisis ekonomi pada awal tahun ini, sekiranya kerajaan gagal untuk memulihkan ekonomi.

Johari mempertahankan undian percaya ini, mengatakan ia diperlukan untuk memastikan kerajaan dapat berkhidmat untuk satu penggal penuh dan diberikan peluang untuk meningkatkan ekonomi negara dengan kestabilan politik yang bakal menarik lebih banyak peluang pelaburan asing secara langsung.

“Persoalannya kini adalah, sama ada Ahli-ahli Parlimen PN ini mampu untuk bangkit dan meninggalkan polemik dan semantik, dan sebaliknya, menyertai usaha untuk menyelamatkan negara supaya Malaysia boleh menjadi hebat sekali lagi,” tanya Kit Siang.