Ketika Kerajaan Perpaduan sibuk bantu rakyat, Hadi anggap kerajaan diambil alih secara luar tabii

Oleh ARIF ATAN

Ketika Kerajaan Perpaduan sedang sibuk melaksanakan dasar negara dan membantu rakyat, Pas dilihat masih ‘bersilat’ politik kepartian yang sempit dengan mengungkit keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang menganggap bahawa pembentukan kerajaan hasil gabungan kumpulan pasca PRU15 sebagai menghalalkan segala cara dan di ‘luar tabii’.

Wakil rakyat sejak tahun 1982 itu turut memetik sabda Rasulullah SAW (Riwayat al-Bukhari, no. 7149 dan Muslim, no. 1733) berkaitan penegasan tidak akan melantik orang yang bernafsu meminta-minta untuk menjadi ketua.

“Amaran Rasulullah SAW itu telah menjadi pilihan dalam kalangan PH yang menghalalkan segala cara.

“Kumpulan ini juga akhirnya berjaya mengambil alih kerajaan dengan cara di luar tabii daripada demokrasi yang biasa diamalkan di seluruh dunia,” katanya hari ini dalam Minda Presiden Pas bertajuk “Tolak Pemimpin Berbohong dan Menipu”.

Menurut Hadi, 75, kejayaan PH yang bergabung bagi membentuk kerajaan dicukupkan dengan individu dan kumpulan yang menjadi sasaran semasa kempen PRU15.

“Puak yang mereka senaraikan dalam kalangan yang tidak bermoral, dikatakan perasuah, perompak, lanun dan sebagainya.

“Golongan itu terdiri daripada kalangan yang telah disabitkan kesalahannya dan dihukum tidak bermoral, atau yang masih dibicarakan menjadi kluster mahkamah.

“Begitu juga, kalangan yang telah diberhentikan perbicaraan mahkamah atau yang boleh diragukan sifat peribadinya dan telah dikesan DNA-nya,” kata Hadi lagi.

Semalam, dalam artikel panjangnya juga menerusi Minda Presiden itu, Abdul Hadi mengingatkan bakal jemaah haji dan umrah mengenai kewajipan mengundi dalam pilihan raya.

Baca juga ‘Buat aduan di media sosial saja boleh dapat perhatian menteri’ – Rakyat luah rasa senang dengan Kerajaan Perpaduan