‘Tak salah menasihati diri sendiri’ – ‘Pertikaian Nasional’ diperli belum ‘move on’

Oleh ARIF ATAN

Pas yang menganggotai blok Perikatan Nasional (PN) dilihat menerima kecaman bertalu-talu daripada orang ramai apabila masih belum ‘move on’ daripada keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Hari ini, hantaran Facebook Harakahdaily berkenaan Minda Presiden Pas bertajuk “Tolak Pemimpin Berbohong dan Menipu” menjadi sasaran sindiran warganet.

“Tak salah menasihati diri sendiri.

“Ni peringatan diri sendiri ke?

Aik. Mengata diri sendiri ke,” demikian antara sindiran warganet.

Reaksi netizen itu berhubung artikel panjang Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang hari ini yang antara lain menganggap bahawa gabungan parti membentuk kerajaan pasca PRU15 sebagai ‘menghalalkan segala cara’ dan di ‘luar tabii’.

Tidak kurang juga yang dilihat kreatif mengubah nama penuh bagi singkatan blok pembangkang PN yang terdiri daripada tiga parti komponen iaitu Bersatu, Pas dan Gerakan.

“Selain Percutian Nasional, PN juga boleh dirujuk sebagai Pertikaian Nasional,” sinis pengguna Facebook, Acek Marhaen.

Dalam masa sama, orang ramai juga menasihatkan Abdul Hadi yang pernah menuduh Umno sebagai parti kafir sejak 1981 itu supaya cakna dengan bencana banjir besar di Pantai Timur sekarang yang telah pun meragut nyawa.

“Tengah banjir ni. Cukup cukuplah berpolitik dulu. Sama-sama bantu rakyat dulu.

“Sabarlah sikit. Orang dah datang tolong di Kelantan tu,” kata netizen lagi merujuk pada siri lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Kelantan meninjau perkembangan banjir.

Malah, Abdul Hadi yang sejak tahun 1981 menuduh Umno sebagai parti kafir menerusi amanat ekstrem itu disaran supaya meninggalkan kancah siasah.

“Alangkah baiknya TGHH berehat dari kerusi politik. Saban hari semakin susut nilai keilmuannya, hilang pula sinarnya.

“Hampir semuanya hanya kerana berbeza mengikut keadaan yang tidak memihak kepadanya. Berehatlah Tok Guru,” nasihat Muhammad Ikhwan pula.

Baca juga Ketika Kerajaan Perpaduan sibuk bantu rakyat, Hadi anggap kerajaan diambil alih secara luar tabii