Penduduk di Kampung Sungai Baru di ibu negara berusaha untuk mendapatkan pampasan munasabah daripada pemaju yang telah mengeluarkan notis pengusiran pada 19 Disember lalu.
Dalam sidang media pagi tadi, penduduk merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk campur tangan membatalkan notis itu dengan membenarkan penduduk berunding dengan pemaju untuk mendapatkan nilai pampasan yang lebih setimpal.
Ahli Jawatankuasa Bertindak Kampung Sungai Baru, Johari Zakaria berkata, notis pengusiran itu telah diterima daripada Pengarah Jabatan Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan untuk mengosongkan rumah yang terlibat dalam tempoh singkat.
“Ini adalah satu tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan dalam tempoh 30 hari untuk penduduk menyewa atau membeli rumah baharu.
“Perkara ini sudah diajukan kepada pihak terbabit tetapi jawapan yang diterima amat mendukacitakan.
“Kami mohon notis dilanjutkan sekurang-kurangnya enam bulan untuk memudahkan penduduk buat persediaan.
“Saya merayu dan menyeru kepada Perdana Menteri yang kita ketahui seorang yang berjiwa besar dan sangat prihatin dengan nasib rakyat.
“Kami juga memohon pertimbangan dan kelulusan agar pengambilan di bawah Akta Tanah ini dikaji semula dan penyemakan kembali kepada pemilik teres dan flat yang terkesan di bawah Akta Pengambilan (APT) Tanah 1960,” katanya.
Tambahnya, penduduk tidak menolak pembangunan tetapi ia harus dilakukan mengikut proses yang ditetapkan seperti mengadakan perbincangan dengan penduduk dan sebagainya.
Dalam sidang media yang sama, Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad juga memohon Perdana Menteri untuk mengadakan pertemuan bersama penduduk terlibat untuk mendengar sendiri masalah yang mereka hadapi.
“Saya bagi pihak penduduk Kampung Sungai Baru merayu kepada Perdana Menteri untuk batal atau tangguhkan dulu dan buat satu perjumpaan dengan pemilik-pemilik sendiri.
“Minta keadilan berlaku, saya minta pentadbiran baru untuk turun datang dan jumpa pemilik sendiri untuk halang berlakunya kezaliman,” katanya.
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, arahan untuk mengosongkan kediaman datangnya daripada jabatan kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri dan bukannya daripada pihak mahkamah.
Oleh sebab itu, tegasnya lagi, tidak timbul isu sekiranya untuk Perdana Menteri menangguhkan atau membatalkannya.
Baca juga Mangsa tanah runtuh: PM Anwar arah sumbangan RM80,000 kepada dua keluarga