Pembangunan lestari luar bandar di Malaysia perlu berlangsung secara berterusan bagi perubahan di kawasan luar bandar yang meliputi program-program bersifat inklusif.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga merupakan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mencadangkan beberapa aspek yang perlu dilaksanakan oleh kementeriannya.
“Peningkatan tadbir urus atau tata kelola yang baik lagi efisien diperlukan di peringkat kawasan setempat, daerah, dan wilayah dengan menghubungkan sektor swasta, masyarakat sivil dan agensi kerajaan yang strategik,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.
“Pembangunan sektor-sektor produktif merujuk kepada bidang pertanian, industri bukan pertanian, perlombongan, pelancongan, sumber alam semula jadi, pengurusan alam sekitar dan sebagainya.”
“Pembangunan institusi dan keupayaan beberapa bidang tujahan termasuk bidang pendidikan, latihan, kesihatan, penyelidikan lanjutan, pemasaran, simpanan dan kredit, pengangkutan, alam sekitar dan sebagainya.
“Pembangunan infrastruktur desa termasuk jalan-jalan raya, elektrik, telekomunikasi, perumahan, air, kesihatan awam dan sebagainya,”
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata kesemua naratif, definisi, preskripsi, deskripsi mengenai ciri pembangunan desa dan wilayah perlu dihalusi kerana ini akan mempengaruhi wacana dan naratif masyarakat desa.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu menegaskan bahawa penting untuk menyerlahkan kualiti inklusif yang merupakan bahagian daripada entiti masyarakat.
“Hal ini perlu diberikan keutamaan berterusan oleh agensi, kementerian dan masyarakat madani.
“Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah akan memastikan aspek ini diterap dan dilaksanakan bagi memastikan kesejahteraan masyarakat desa dan wilayah.
“Ini adalah untuk memastikan konsep desa yang pernah saya kemukakan sebelum ini bergerak sejajar dengan misi dan visi kementerian,” tambahnya lagi.
Pada masa sama, Zahid mengingatkan kelestarian pembangunan desa dan wilayah adalah tanggungjawab bersama.