Dominic Tan akhirnya bersuara setelah jaringannya dibatalkan

Oleh MALAYSIADATELINE

Walaupun jaringannya dibatalkan, pemain pertahanan negara Dominic Tan tetap berpuas hati selepas berjaya membantu Malaysia mengatasi Thailand 1-0 pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 malam tadi.

Pemain Sabah FC itu menyifatkan kekecewaannya terubat apabila pasukan terutama benteng pertahanan berjaya mengekang skuad Gajah Perang yang juga juara bertahan daripada mencetak jaringan pada aksi sengit di Stadium Nasional di Bukit Jalil itu.

Menjelang aksi timbal balik di gelanggang lawan Selasa depan, beliau yang enggan berputus asa memburu gol pertama di pentas antarabangsa, berharap pasukan dapat mempertahankan kelebihan 1-0 untuk mengesahkan kemaraan ke pentas final.

“Saya berpuas hati sebab dapat clean sheet, patutnya 2-0 tapi inilah bola sepak, kita akan bawa momentum ini ke Thailand.

“Sebenarnya ia bagus untuk mendapatkan gol pertama saya untuk Malaysia tetapi ia bukan rezeki saya, saya akan cuba lagi dan yang penting kita menang dan clean sheet,” kata pemain berusia 25 tahun itu ketika ditemui selepas perlawanan, malam tadi.

Pada pertembungan mendebarkan itu, Malaysia dipaksa bekerja keras sebelum berjaya menumpaskan Thailand menerusi gol kemenangan pemain sayap sensasi, Mohamad Faisal Abdul Halim pada minit ke-11.

Mengulas mengenai gol tandukannya pada minit ke-55 yang dibatalkan pengadil Kim Dae Yong dari Korea Selatan kerana mendakwa terdapat kekasaran dibuat pemain negara dalam kotak penalti, Dominic menafikan beliau melakukan kekerasan dalam perebutan bola di udara.

Sementara itu, seorang lagi pemain pertahanan Sharul Nazeem Zulpakar merasakan pasukan negara tidak boleh hanya bermain secara bertahan apabila bertandang ke Stadium Thammasat di wilayah Pathum Thani dalam kemuncak perebutan slot ke final.

Menurut pemain muda Selangor FC itu, bermain secara bertahan lebih penat terutama bagi benteng pertahanan seperti yang dihadapi semalam.

“Bagi saya kita tak boleh bertahan dalam 90 minit di sana, kita perlu juga menyerang, jadi apa sahaja perancangan jurulatih kami akan terap di padang,” katanya.

Malaysia yang merupakan juara edisi 2010 dijadual berlepas ke Thailand hari ini.

— BERNAMA

Baca juga : Menang 1-0 ke atas Thailand masih tidak cukup, kata Kim Pan Gon