“Pak Anwar begitu cerdas”- Berucap di Indonesia, Anwar Ibrahim tuai pujian rakyat negara seberang

Oleh KIM SYAZIE

Sejumlah rakyat Indonesia meluahkan rasa kagum dan bangga usai menyaksikan Perdana Menteri Malaysia Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap dalam majlis CT Corp Leadership Forum di Indonesia, semalam.

Forum yang dianjurkan di Auditorium Menara Bank Mega, Mampang, Jakarta Selatan itu diterajui sendiri oleh pengerusi CT Corp, Chairul Tanjung.

Kehadiran Anwar Ibrahim sebagai ahli panel forum tersebut dilihat sebagai medan dalam mengeratkan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara republik itu.

Antara isu yang diketengahkan di forum itu adalah kerjasama Malaysia-Indonesia dalam industri minyak sawit, membanteras rasuah serta mengurangkan kebergantungan kepada dolar Amerika Syarikat (AS).

Perkongsian pemimpin reformasi itu memberi dampak positif kepada penonton acara negara seberang sehingga mendapat perhatian dan pujian oleh pengguna media sosial Indonesia.

Menurut perkongsian di laman sesawang Twitter, pungguna bernama Rakhmanavindah berkata, ucapan yang disampaikan oleh Anwar begitu memberi kesan terhadap dirinya.

“Sore ini nonton CT Corp Leadership forum dengan pembicara utama YAB Dato Seri Anwar Ibrahim, benar-benar merasa mendapatkan ilmu dan inspirasi baru seorang yang penuh perjuangan membangun bangsa”, katanya semalam.

“Sungguh sangat mengesankan pidato dari PM Malaysia Anwar Ibrahim di depan CT Corp Leadership Forum terutama dalam hal pemberantasan korupsi dan penegakan hukum di mana intinya perlu adanya keteladanan dari seorang pemimpin dan ketegasan dalam penegakan hukum”, kata Ubed Ubaidullah yang turut berkongsi pendapat sama.

Hal ini juga dapat dilihat menerusi ruangan komen laman Youtube CNN Indonesia di mana seorang pengguna yang menggunakan identiti Tanpa Jeda menulis bahawa ucapan bekas Menteri Kewangan itu memberi inspirasi kepadanya.

“Alhamdulillah, serasa kuliah S3 di Oxford. So inspiring us to be better and meaningful person“, katanya.

“Pak Anwar cerdas menguasai permasalahan ekonomi global’’, kongsi pengguna lain.

Baca juga: Ketua Hakim Negara dedah pernah terima ancaman bunuh