Wanita rugi RM38,200 selepas dijanjikan komisen untuk ulasan di Google Maps

Oleh KIM SYAZIE

Niat menerima tawaran kerja sambilan akhirnya menyebabkan kerugian buat jurugambar wanita di Rompin apabila kehilangan wang simpanan sebanyak RM38,200

Wanita tersebut dikatakan menerima tawaran kerja sambilan yang dipromosi secara dalam talian, awal bulan lalu setelah menerima WhatsApp daripada suspek yang mendakwa melihat permohonan pekerjaan mangsa di portal Job Street.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa berusia 26 tahun kehilangan wang simpanan dan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) milik ayahnya akibat penipuan itu.

Katanya, kejadian bermula pada 7 Januari lalu apabila dia menerima WhatsApp daripada suspek yang menawarkan pekerjaan untuk membuat ulasan dan dibayar komisen berdasarkan kerja tersebut.

“Suspek menawarkan kerja membuat ulasan pada laman Google Maps dan dijanjikan komisen bagi setiap ulasan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ramli berkata, mangsa bagaimanapun diminta membayar sejumlah wang untuk meraih keuntungan itu dan dia mempercayainya, sebelum membuat empat pindahan wang ke dua akaun bank berasingan.

“Mangsa menggunakan wang simpanan sendiri dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) milik ayahnya untuk semua transaksi dibuat berjumlah RM38,200,” katanya.

Selepas menyedari dirinya ditipu, mangsa membuat laporan polis dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran kerja di media sosial yang menawar pulangan lumayan.

Baca juga: Kreatif sangat, suami terkejut tengok bekas kicap isteri sediakan

Baca juga: Wanita Afghanistan luah bimbang selepas Taliban larang doktor lelaki rawat pesakit wanita