Penampilan pengacara televisyen dan pelakon popular, Che Puan Sarimah Ibrahim kembali tular di media sosial terutama di aplikasi Tiktok baru-baru ini apabila tampil berhijab.
Jelas terserlah kecantikan isteri kerabat Negeri Sembilan, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar yang mengayakan dua tona tudung dalam video di TikTok.
Menerusi video yang dimuat naik di akaun TikTok itu, Sarimah bertanyakan pendapat kepada pengikutnya mengenai tudung manakah yang lebih sesuai buat dirinya sambil mengenakan dua jenis tudung.
Sarimah yang sudah menjangkau usia 44 tahun itu tampil awet muda dan menawan ketika menggayakan kedua-dua hijab tersebut.
Perkongsian Sarimah itu mendapat pujian ramai pengguna laman sosial, tidak kurang juga ada yang memberi dorongan untuk aktres tersebut mengenakan tudung.
“Ya Allah, Che Puan terlihat sangat cantik apabila mengenakan hijab. Moga terus berhijab, Amin,” doa pengguna @MamaFareeha.
“MashaAllah, lawanya kak. Istiqamah tau. Warna kelabu lebih menyerlah apabila dikenakan,” komen pengguna bernama Naila yang turut memberi cadangan agar Sarimah memakai tudung berwarna kelabu.
Menurut Sarimah, pilihan tudung terbaik akan dipakainya untuk menghadiri bengkel Being-ME Workshop: Building Me anjuran Mercy Mission Malaysia.
Beliau yang merupakan graduan psikologi dari institusi Singapura dijemput sebagai salah seorang panel dalam bengkel yang diadakan di Seven Skies International School, Denai Alam pagi tadi.
Bengkel ini menyasarkan untuk memperkasakan wanita Islam dengan memberi tumpuan kepada kesejahteraan kesihatan mental.
Baca juga: Cipta aplikasi untuk mengesan plagiat, pelajar Princeton dikecam ramai