Pengguna telefon pintar iPhone akhirnya boleh menarik nafas lega apabila syarikat pengeluarnya, Apple Inc dikatakan bakal membuka gedung pertamanya di Malaysia.
Teori itu mula timbul apabila syarikat gergasi teknologi dunia itu memuat naik senarai tawaran pekerjaan khusus buat rakyat Malaysia di laman sesawang rasminya.
Walaupun penyenaraian itu tidak mendedahkan sebarang butiran lanjut mengenai lokasi, namun terdapat ura-ura bahawa gedung tersebut bakal dibuka di bangunan Tun Razak Exchange (TRX).
Berita tergempar ini disambut baik oleh rakyat Malaysia kerana walaupun dipasarkan dengan harga yang sangat mahal, namun jenama eksklusif ini mempunyai jumlah peminat dan pembeli yang ramai di negara ini.
Pembukaan gedung ini juga membenarkan pelanggan untuk berurusan secara langsung dengan pembekal mengenai pembelian atau kerosakan produk.
Hal ini amat dinantikan pengguna kerana sebelum ini, mereka menghadapi banyak masalah apabila berurusan dengan pihak ketiga, atau ‘reseller’ seperti Switch dan Machine.
Sebagai contohnya, apabila berlaku sebarang kerosakan, pengguna kadang kala dikenakan caj oleh reseller ataupun dikembalikan tanpa sebarang pembaikan kerana kekurangan pakar dari pihak reseller.
Selain itu, ‘refund’ atau pembayaran balik juga amat sukar diperolehi dan sekiranya diluluskan, prosesnya agak rumit dan mengambil masa yang sangat lama.
Seorang pelanggan yang bernama Puspanathan berkongsi rasa gembiranya apabila syarikat yang bertapak di California itu ingin membuka cawangan di tanah air.
Menurut pesara guru itu, sudah terlalu lama pengguna produk Apple berhadapan dengan tawaran yang merugikan. Dia juga harus membawa komputer riba pintarnya ke negara jiran untuk dibaiki tanpa sebarang caj.
“MBP (MacBook Pro) saya mengalami masalah pembesar suara. Apabila dibawa kepada ‘reseller’ mereka ingin mengenakan bayaran untuk pemeriksaan walaupun masih berada dalam waranti.
“Saya perlu membawanya ke Singapura di mana ia diperbaiki tanpa sebarang bayaran,” ciapnya di ruangan komen media sosial Twitter milik Mark Gurman, wartawan Bloomberg.
Mark Gurman dalam laporannya turut mengesahkan bahawa pengambilan pekerja oleh Apple itu dibuat bagi memenuhi keperluan tenaga buruh di gedung Apple dan bukanlah untuk pihak ketiga.
Memetik laporan Bloomberg, penyenaraian tawaran kerja itu menunjukkan bahawa jawatan berkenaan adalah untuk gedung runcit milik Apple sendiri, bukan oleh penjual pihak ketiga yang lama beroperasi di Malaysia.
Baca juga: Pelanggan Apple rugi lebih RM400,000 lepas 152 biji Iphone dirompak sejurus keluar kedai